Pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar iaitu ATLAS Vending, dengan kerjasama stesen minyak Caltex telah hadir dengan mesin runcit automatik yang dikenali sebagai Minit Mart.
Menurut perkongsian ATLAS, idea Minit Mart ini terhasil daripada keperluan proses pembelian snek dan minuman yang lebih mudah selain mengambil masa yang pendek untuk mendapatkannya. Manakala untuk pemilihan warna hijau dan biru ini adalah seiring dengan penawaran mereka yang memfokuskan kelestarian.
Untuk pengetahuan anda, struktur Minit Mart akan diperbuat daripada keluli kitar semula sepenuhnya, polikarbonat dan alukubond. Ia juga dilengkapi dengan ciri penjimatan tenaga selain memperkenalkan cawan kertas yang diperbuat daripada sumber kertas yang diperakui FSC.
Jika dibandingkan dengan pembelian makanan dan minuman di dalam kedai runcit fizikal, pastinya proses pembelian di Minit Mart adalah lebih pantas di samping dapat mengelakkan kemungkinan beratur di barisan yang panjang sewaktu pembayaran.
Bagi merasmikan sub-jenama Minit Mart itu, ATLAS Vending telah melancarkan cawangan Minit Mart di 3 lokasi iaitu:
- Stesen Caltex di Lebuhraya KESAS
- Stesen Caltex Bandar Utama
- Stesen KLIA Transit Salak Tinggi
Untuk fasa pengenalan ini, cawangan Minit Mart akan menampilkan pelbagai pilihan produk makanan dan minuman serta bekalan berguna lain untuk pengembara, daripada jenama seperti Pepsi, Mountain Dew, Wonda Coffee, 7 Days dan banyak lagi.
Apa yang menarik mengenai mesin Minit Mart ini juga, ia menawarkan sistem pembayaran yang cukup sinonim dengan penggunaan rakyat Malaysia iaitu secara tunai, menggunakan Touch ‘n Go serta pembayaran menerusi kad debit dan kredit.
Bukan sekadar itu, mereka turut mengasingkan terminal pembayaran di ketiga-tiga mesin. Jadinya, jika anda ingin melakukan pembelian minuman sejuk seperti kopi, anda tidak perlu menunggu di belakang individu yang ingin melakukan pembelian roti di mesin yang lain untuk membuat pembayaran.
Bersempena dengan musim balik kampung dan perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang, Minit Mart akan beroperasi selama 24 jam. Menerusinya, anda boleh membuat pembelian walaupun juruwang tidak bertugas.
Bergerak ke hadapan, ATLAS Vending sedang dalam perancangan untuk mengembangkan rangkaian kedai itu ke lebih banyak lokasi termasuk kompleks komersial dan pejabat, hospital dan klinik 24 jam, kompleks kediaman, pusat membeli-belah, institusi pendidikan serta hab pengangkutan yang mana sebanyak 50 Minit Mart akan diperkenalkan di seluruh Malaysia menjelang 2023.
Bagi anda yang berminat untuk mencuba Minit Mart oleh ATLAS Vending, jangan ketinggalan untuk mengunjungi 3 lokasi terpilih.