Pernahkah mata anda terasa pedih selepas menggunakan krim pelindung matahari? Selain terasa pedih, mata juga terasa berair dan sukar untuk dibuka. Situasi ini terjadi akibat chemical burn yang berpunca daripada bahan yang digunakan di dalam krim pelindung matahari meresap masuk ke kawasan mata yang lantas menyebabkan iritasi. Kepedihan yang anda alami bukan sahaja membuatkan anda tidak selesa, malah menyebabkan anda tidak dapat melihat dengan sempurna. Apatah lagi sekiranya anda sedang bekerja atau sedang memandu.

Apa yang Boleh Anda Lakukan Sekiranya Mata Anda Pedih?

1. Tanggalkan kanta lekap sekiranya anda memakai kanta lekap, tanggal dan bersihkannya dengan menggunakan solusi pembersih kanta lekap.

2. Sekiranya boleh, cuci muka dengan pembersih wajah. Namun jika anda berada di kawasan di mana anda tidak dapat membersihkan muka anda, pastikan anda membersihkan kelopak dan alis mata anda kerana krim pelindung matahari boleh terperangkap di antara bulu alis boleh menyebabkan kepedihan yang berterusan.

3. Seboleh-bolehnya, gunakan ubat titis mata untuk melegakan mata anda yang pedih. Sekiranya anda tidak mempunyai ubat titis mata, alirkan titisan air ke dalam mata untuk memberikan kelegaan. Elakkan membasuh mata dengan air terlalu lama kerana ini akan mengganggu keseimbangan semulajadi mata yang menyebabkan mata anda menjadi kering.

4. Sekiranya mata anda masih terasa pedih dan tidak selesa, tutup mata dan berehatlah untuk seketika.

5. Untuk anda yang memakai kanta lekap, elakkan penggunaannya sekurang-kurangnya untuk 48 jam seterusnya.

6. Sekiranya situasi ini terjadi kepada kanak-kanak kecil, gunakan cold compress untuk memberikan kelegaan dan meredakan kepedihan mata. Ini sekaligus dapat membantu mereka bertenang.

Bagaimana untuk Mengelakkan Situasi Ini Berulang?

Pemakaian krim pelindung matahari memang tidak dapat dielakkan, berdasarkan faktor iklim negara kita yang menerima pancaran cahaya matahari saban hari sepanjang tahun. Walaubagaimanapun, ada beberapa langkah tambahan yang dapat anda ambil untuk mengelakkan iritasi mata akibat penggunaan krim pelindung matahari daripada terus berulang.

Sekiranya anda menggunakan spray sunscreen, semburkan dahulu ke tangan sebelum menyapukannya ke muka. Elakkan untuk terus menyembur secara terus ke wajah bagi mengelakkan produk termasuk ke dalam mata.

Anda juga disyorkan untuk menggunakan physical sunscreen yang diformulasikan daripada titanium dioxide atau zinc oxide. Physical sunscreen adalah pilihan yang lebih baik daripada chemical suncreen kerana kandungannya yang tidak mendatangkan iritasi. Pilihlah juga krim pelindung matahari untuk kulit sensitif atau untuk kanak-kanak yang ternyata hipoallergenik dan lembut namun berkesan untuk melindungi wajah daripada sinar UV.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menggunakan krim pelindung matahari dalam bentuk stik ataupun pelembap bibir yang mempunyai perlindungan SPF di kawasan mata. Ini adalah kerana kandungan wax dalam stick sunscreen dan lip balm boleh menghalang sunscreen daripada merebak dan masuk ke dalam mata anda. Ini sekaligus dapat mencegah iritasi daripada berlaku. Anda juga boleh mempertimbangkan krim pelindung matahari yang kalis air dan peluh untuk penggunaan harian.

Selepas menyapukan krim pelindung matahari ke wajah, gunakan primer solekan, foundation, concealer, bedak tabur dan/atau setting spray untuk set sunscreen di wajah. Solekan ‘memegang’ krim pelindung matahari dan bertindak sebagai barrier yang menghalangnya daripada bercampur dengan peluh atau meresap masuk ke mata yang boleh menyebabkan kepedihan.

Sekiranya anda mempunyai akses, cucilah muka sekitar waktu tenghari, keringkan wajah dengan sempurna sebelum mengenakan semula krim pelindung matahari. Ini bukan sahaja membuatkan anda terasa segar, malahan dapat menghalang kotoran dan peluh yang bercampur dengan krim pelindung matahari daripada meresap ke dalam mata.

Anda juga boleh mengelakkan penggunaan krim pelindung matahari di kawasan mata dan melindungi kawasan mata dengan memakai cermin mata hitam dengan perlindungan UV dan memakai topi yang lebar. Ini sesuai digayakan untuk anda yang ingin pergi bercuti ke kawasan pantai yang terdedah kepada sinaran matahari.

Semoga panduan ini bermanafaat untuk anda agar terus menggunakan krim pelindung matahari!