Tahukah anda, hidangan rendang merupakan juadah tradisional masyarakat Minangkabau? Rendang sering digambarkan sebagai hidangan daging yang dimasak lama di atas api yang perlahan sehingga ia menghasilkan rasa yang sebati dengan herba dan rempah yang dimasak.

Disebabkan proses memasak yang lama, rendang mempunyai tekstur yang kering dan ia dilihat berupaya untuk mengekalkan rasa yang enak untuk tempoh yang panjang. Maka, tidak hairanlah ia menjadi pilihan para pengembara untuk dibawa sebagai bekalan makanan ketika berlayar.

Di Malaysia, pengenalan hidangan rendang bermula sejak ketibaan masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan menerusi Rendang Minang. Ia kemudiannya diperluaskan lagi keseluruh negara dan dari situ tercetusnya variasi pilihan rendang ditawarkan oleh masyarakat setempat.

Tidak hanya makan bersama ketupat, terdapat beberapa cara menikmati rendang yang cukup popular dalam kalangan masyarakat iaitu dihidangkan bersama lontong atau lemang, disediakan sebagai lauk nasi minyak dan banyak lagi.

Di Sebalik Nama Rendang – Berasal Dari ‘Randang’?

Berdasarkan perkongsian CNN, rendang tersenarai sebagai hidangan terbaik dunia pilihan pengguna yang mana mereka berada di tangga pertama di antara 50 juadah yang lain.

Kejayaan ini mungkin dipengaruhi oleh kaedah penyediaannya yang menjadikan hidangan ini antara hidangan terbaik dunia. Mana tidaknya, untuk mendapatkan rendang yang lazat, anda perlu merebus daging lembu secara perlahan-lahan dengan santan dan campuran serai, lengkuas, bawang putih, kunyit, halia dan cili. Ia kemudian dibiarkan mereneh selama beberapa jam untuk menghasilkan hidangan yang lembut dan berperisa.

Disebabkan itu juga tercetusnya nama Rendang. Untuk pengetahuan anda, asal nama ‘rendang’ berasal dari perkataan merendang iaitu masak secara perlahan sehingga kering (slow stir fry atau simmer stir fry). Dengan pemilihan nama ini, ia dikatakan cukup sinonim dan dapat mencerminkan proses masakan rendang yang mengambil masa lama.

Ketahui Jenis Rendang Di Malaysia

Terdapat pelbagai variasi rendang mengikut gaya masak dan budaya berlainan negeri. Berikut adalah 7 jenis rendang yang boleh anda temui dan nikmati di Malaysia.

Rendang Minang

Menggunakan bahan utama cili, Rendang Minang cukup popular dalam kalangan masyarakat di Negeri Sembilan. Selain dimasak untuk tempoh yang lama, Rendang Minang sebenarnya perlu diperap terlebih dahulu menggunakan kicap manis.

Malah, Rendang Minang juga tidak menggunakan kerisik dan hanya meletakkan halia, lengkuas, cili kering, santan dan serai.

Rendang Tok

Antara variasi rendang yang menjadi pilihan rakyat Malaysia, Rendang Tok cukup terkenal di Perak dan kini populariti makanan itu sudah menjalar di seluruh negara. Dahulunya, penyediaan Rendang Tok adalah sangat unik yang mana ia akan disediakan secara tradisional menggunakan kaedah memasak di atas dapur kayu.

Membezakan Rendang Tok dengan yang lain adalah ia dimasak, dikacau sehingga kering dan bertukar menjadi warna hitam.

Rendang Cili Padi

Kelihatan seakan masak lemak cili padi, Rendang cili padi ini berasal dari Negeri Sembilan. Ia menggunakan bahan utama yang hampir sama seperti rendang, namun menukar penggunaan cili kering kepada cili padi.

Rendang Ayam Johor

Tidak menampilkan warna yang gelap seperti rendang yang lain, Rendang Ayam Johor mempunyai kuah yang kelihatan seperti warna kari tetapi berbau wangi disebabkan kehadiran rempah ratus yang segar dan penggunaan kelapa segar sebagai santan.

Melengkapkan hidangan ini adalah hirisan daun kunyit dan daun limau purut yang membantu menambahkan lagi keistimewaan rasa pada rendang ini.

Rendang Dendeng

Tidak menggunakan santan, Rendang Dendeng biasanya dimasak lama sehingga kering. Ia juga menggunakan daging yang diketuk sebelum dimasak bagi memastikan isinya lebih lembut dan empuk sewaktu disediakan sebagai hidangan lauk.

Rendang Opor Pahang

Rendang Opor Pahang merupakan salah satu makanan Diraja yang popular dalam kalangan masyarakat Pahang. Ia merupakan antara menu wajib setiap kali raya dan juga bila ada majis-majis keraian. Apa yang menarik mengenai rendang ini, ia mempunyai bahan-bahan seperti asam jawa, belacan yang biasanya tidak diletakkan di dalam variasi rendang lain.

Rendang Maman

Berasal dari Negeri Sembilan, Rendang Maman menggunakan sama ada daging atau ayam yang akan disalai terlebih dahulu selain ditambah juga dengan ulam-ulaman sebagai pelengkap. Rendang ini juga memerlukan cara masakan yang cukup ringkas iaitu menggunakan bahan utama seperti santan, asam keping, kunyit dan cili api.

Sumber: Science Direct The Star