Durian merupakan antara buah yang sememangnya cukup popular di Malaysia selain sering mendapat sambutan yang meriah dalam kalangan masyarakat apabila tiba musimnya.
Malah, tidak hanya popular di Malaysia, durian juga merupakan ‘Raja Buah’ di segenap Asia Tenggara. Namun, tahukah anda di Indonesia, terdapat buah durian tanpa duri yang boleh didapati di pasaran?
‘Thornless Durian’ Diperkenalkan Di Lombok, Indonesia
Menurut perkongsian di Mongabay, Indonesia telah memperkenalkan durian yang cukup unik dan jarang dijumpai di pasaran iaitu Thornless Durian atau durian tanpa duri.
Berbeza dengan durian biasa yang sering mempunyai duri yang tajam dan berwarna hijau kecoklatan, Thornless Durian ini kelihatan botak dan berwarna coklat tua.
Berdasarkan perkongsian pegawai pertanian untuk Thornless Durian, Maisin, mereka mendedahkan bahawa buah ini adalah hasil eksperimen yang dilakukan dengan cara kacukan. Bagi menghasilkan pokok ini, sebanyak 50 cantuman untuk pembiakan telah dilakukan.
Daripada situ, pasukan pertanian Indonesia berjaya menanam sebanyak 23,000 anak pokok dan anak benih ini dihantar ke pusat pertanian lain untuk ditanam.
Pokok pertama yang menghasilkan ‘Si Gundul’ adalah terletak di Dusun Trenggaluh, Desa Batu Mekar, Kecamatan Lingkar, Lombok Barat yang mana ia mula ditanam pada tahun 2007. Selepas 12 tahun berekperimen dengan penanaman ini, hasil pertama yang berjaya dijana adalah sekitar tahun 2019.
Sama seperti kebanyakan pokok durian yang lain, ia mempunyai ketinggian sekitar 12 meter. Namun, apa yang menarik mengenai pokok ini, ia dilihat menampilkan sebahagian buah durian sahaja yang berduri, dan sebahagian besar yang lain adalah tidak berduri.
Malah, jika dibandingkan dengan durian biasa, isi Thornless Durian adalah lebih nipis dan rasanya lebih manis.
Buah Durian Tanpa Duri Yang Pertama Pernah Dihasilkan Oleh Negara Filipina
Penanaman Thorless Durian di Indonesia adalah bukan yang pertama. Untuk pengetahuan anda, pada tahun 1950-an, Filipina telah berjaya mencipta varian durian tanpa duri di Lembah Compostela di timur Davao City.
Presiden Filipina Diosdado P Macapagal sendiri telah menanam beberapa pokok ini pada tahun 1964. Malangnya, kebanyakan pokok itu tidak menghasilkan buah yang baik dan rasanya juga tidak begitu enak seperti durian biasa.
Sumber: Mongabay Sea Mashable Year of Durian