Sekiranya anda pernah berkunjung ke Shibuya, Tokyo, pastinya anda pernah mendengar akan jenama Ainz & Tulpe (A&T).
Untuk pengetahuan anda, Ainz & Tulpe merupakan jenama di bawah kumpulan farmasi Ain Pharmaciez, yang merupakan peneraju pasaran dalam sektor farmasi di Jepun. Pada tahun 2002, Ainz berkembang ke dalam perniagaan runcit kecantikan dan membuka kedai Ainz & Tulpe yang pertama.

Berbanding dengan cawangan rangkaian kedai ubat Jepun yang lain seperti Matsumoto Kiyoshi, Sundrug, Cocokara Fine atau HAC Drug, jenama Ainz & Tulpe memfokuskan kepada gaya dan membawakan kedai berkonsepkan trendy. Ia selari dengan penampilan nama mereka yang berasal daripada perkataan Jerman iaitu Eins iaitu satu, sementara Tulpe pula mewakili kesegaran sama seperti bunga tulip.
Setelah berdiri teguh di Jepun, kini Ainz & Tulpe (A&T) telah mula mengembangkan penawarannya dengan membuka gedung pertama mereka di Asia Tenggara yang akan dibuka di Pavilion Bukit Jalil.

Dibuka secara rasminya pada 20 Mei, gedung kosmetik Jepun yang digemari ramai bakal memberikan para pengunjung “A Time to Discover” atau masa untuk menemui kecantikan diri dari luar dan dalam.
Anda pasti menjadi rambang mata di gedung berkeluasan 3,547 kaki persegi ini yang menawarkan 4,000 aneka produk daripada 250 jenama yang merangkumi rangkaian penjagaan kulit, solekan dan fesyen. Antara jenama eksklusif yang ditawarkan termasuklah AYURA, LIPS & HIPS, DAZZSHOP dan banyak lagi.
Bercerita serba sedikit mengenai AYURA, ia merupakan jenama yang sering mendapat pengiktirafan dan memenangi anugerah kecantikan tahun demi tahun dengan produk terlaris AYURA Clear Refiner dan AYURA Balancing Primer.

AYURA diasaskan oleh SHISEIDO pada tahun 1990 dan diambil alih oleh AIN GROUP pada tahun 2015, jenama AYURA terus berkembang dengan mengekalkan kualiti dan ciri eksklusif yang digemari oleh para pengguna.
Setakat hari ini, A&T mempunyai 78 buah gedung di Jepun dan telah merancang untuk mengembangkan perniagaannya untuk mencapai lebih banyak komuniti tempatan dan luar negara pada masa akan datang. Sebagai permulaan, AIN GROUP juga kini telah menjalinkan kerjasama Marubeni Corporation dan telahpun menubuhkan AMC Retail Malaysia Sdn Bhd untuk membuka gedung A&T yang pertama di Malaysia.