Min Ahmad Diterbitkan 20 April 2022

#ManaSatu : Garam vs Gula, Mana Lebih Bahaya?

Kita sering diingatkan tentang bahaya penggunaan garam dan gula secara berlebihan dalam makanan. Namun, manakah satu antara bahan perasa ini lebih mendatangkan mudarat kepada badan, garam atau gula?

Sebelum kita mengetahui apakah bahaya garam dan gula kepada kesihatan, haruslah kita memahami apakah fungsi kedua-dua bahan ini. Badan kita memerlukan gula dan kanji yang diperolehi daripada karbohidrat untuk membekalkan glukos kepada otak dan membekalkan tenaga kepada sel-sel badan. Garam pula berfungsi untuk mengawal pengecutan otot, fungsi saraf, tekanan darah dan keseimbangan cecair dalam badan.

Umum diketahui pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan obesiti dan berat badan berlebihan; kerosakan gigi, mempercepatkan proses penuaan serta meningkatkan risiko penyakit jantung, kanser dan diabetes tahap 2 . Manakala pengambilan garam yang berlebihan pula boleh meningkatkan risiko serangan penyakit ahmar, penyakit buah pinggang, batu karang, sakit kepala yang berpanjangan, darah tinggi, pembesaran otot jantung dan osteoporosis.

Untuk orang dewasa yang sihat, pengambilan gula secara umumnya disyorkan pada kadar 25 gram sehari (bersamaan 5-6 sudu teh) manakala pengambilan garam pula disarankan pada kadar 5 gram sehari (bersama 1 paras sudu teh).

Isu Kesihatan Akibat Pengambilan Garam dan Gula Berlebihan

Sumber makanan yang tidak diproses seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan susu mempunyai kandungan gula dan sodium semulajadi. Ini tidak mendatangkan isu yang besar sekiranya dimakan dalam kuantiti yang berpatutan kerana makanan ini mengandungi kandungan nutrien, vitamin dan serat lain yang diperlukan oleh badan.

Namun begitu, apa yang menjadi isu ialah sekiranya makanan yang kita ambil kebanyakkannya adalah makanan yang diproses. Ia bukan sahaja mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi, ia juga tidak mengandungi kandungan nutrien yang seimbang yang diperlukan badan. Walaupun mempunyai kandungan kalori yang tinggi, kandungan gizi yang tidak seimbang ini akan menyebabkan kita akan makan makanan ini dalam kuantiti yang banyak.

Kandungan gula ringkas yang banyak terdapat dalam makanan yang diproses ini juga akan membuatkan badan mula menghasilkan insulin. Insulin yang dihasilkan badan akan menukarkan gula ringkas ini kepada tenaga. Semakin banyak gula yang diambil, makin kerap badan akan menghasilkan insulin. Pengambilan makanan yang diproses secara kerap, berlebihan dan berterusan untuk jangka masa panjang akan mengakibatkan badan membina rintangan terhadap insulin. Inilah yang menyebabkan masalah berat badan berlebihan dan meningkatkan risiko untuk diabetes tahap 2.

Bukan itu sahaja, pengambilan gula yang berlebihan akan mengubah kadar metabolisma badan dan menyebabkan keradangan sel-sel badan. Kajian juga mendapati bahawa gula boleh meningkatkan risiko kematian akibat penyakit jantung walaupun anda tidak mempunyai berat badan berlebihan. Ini adalah kerana gula mampu menyebabkan keradangan dinding arteri. Situasi ini adalah konsisten dengan punca berlakunya serangan sakit jantung dan angin ahmar akibat keradangan kronik pada salur darah.

Walaupun pengambilan garam secara berlebihan juga mampu mendatangkan pelbagai masalah kesihatan, kajian pada tahun 2014 mendapati pengambilan gula berlebihan mampu meningkatkan impak negatif garam. Penghasilan insulin menyebabkan buah pinggang anda menyimpan air dan sodium. Lebih banyak insulin dihasilkan badan (akibat pengambilan makanan yang mengandungi gula yang tinggi), lebih banyak air dan garam disimpan. Ini akan mengakibatkan tekanan darah tinggi.

Jadi, Yang Manakah Lebih Berbahaya?

Badan kita memerlukan garam selain bekalan sodium yang diperolehi secara semulajadi daripada makanan untuk memastikan kelancaran dan keseimbangan dalaman. Namun situasi adalah berbeza untuk gula yang ternyata lebih banyak mendatangkan kesan buruk untuk badan berbanding garam.

Adalah lebih mudah kita untuk mengurangkan pengambilan garam berlebihan dalam makanan berbanding gula. Malahan, ketagihan gula secara tidak sedar akibat sudah terbiasa dengan pengambilan makanan yang manis dan tinggi dengan gula tersembunyi menyebabkan ramai mengalami kesukaran untuk mengurangkan pengambilan gula. Ini sudah tentu boleh mendedahkan kita terhadap risiko penyakit yang berkaitan dengan pengambilan gula yang berlebihan tanpa kita sedari.

Seperti yang dimaklumkan, isu kesihatan yang timbul akibat pengambilan gula berlebihan banyak berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang dan diproses. Oleh itu variasikan pengambilan sumber untuk tenaga badan anda dengan memakan makanan yang mengandungi karbohidat dengan gula kompleks seperti bijirin whole grain, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi dengan serat. Karbohidrat kompleks mengandungi serat, kanji dan gula yang mampu memberikan rasa kenyang lagi lama dan lebih bermanafaat untuk badan. Yang paling penting, jauhi gula ringkas dan makanan yang diproses.