Sudahkah anda mendapatkan baju melayu yang baharu sempena Hari Raya Aidilfitri kelak? Jika belum, anda mungkin boleh menambah baju melayu dari Uniqlo ke dalam senarai pembelian anda.

Ditawarkan pada harga hanya RM129.90, Uniqlo telah hadir dengan dua pilihan rekaan baju melayu yang ditawarkan di semua rangkaian fizikal mereka dan juga aplikasi serta platform atas-talian Uniqlo.

Dua pilihan rekaan yang dimaksudkan adalah jenis kolar yang berbeza iaitu:

  • Easy Care Stand Collar Baju Melayu atau Baju Melayu Cekak Musang. Untuk pilihan ini, Uniqlo menampilkan tiga warna berbeza iaitu coklat gelap, kelabu dan juga biru.
  • Easy Care Collarless Baju Melayu atau Baju Melayu Teluk Belanga pula membawakan 3 pilihan warna yang lebih terang iaitu kuning, hijau dan biru.

Lebih lanjut mengenai rekaan baju melayu dari Uniqlo ini lagi, ia memperlihatkan penawaran satu poket di bahagian dada dan dua poket lain pada bahagian sisi baju. Bukan itu sahaja, baju melayu ini juga turut menampilkan bentuk baju jenis straight-cut dan sedikit labuh. Dengan ini, ia dilihat sangat sesuai untuk didapatkan oleh individu yang tidak menggemari rekaan slim fit.

Dari segi fabrik yang digunakan pula, ia menggunakan kain yang diperbuat daripada 78% kapas, 19% Poliester dan 3% Spandex. Oleh itu, anda tidak perlu risau akan keselesaan sepanjang pemakaian kerana ia bukan sahaja senang untuk dijaga, tetapi juga menampilkan ciri teknologi mudah kering sekiranya dipakai pada cuaca yang terik.

Bagi anda yang berminat, kunjungi ke kedai Uniqlo berdekatan anda atau lakukan pesanan pembelian bermula hari ini di laman rasmi mereka.