Sepanjang bulan Ramadan ini, susu kurma adalah hidangan penting sewaktu sahur yang mana ia dikatakan dapat membantu memberikan tenaga selain menawarkan kepada individu akan kebaikan nutrisi dalam tempoh berpuasa.

Untuk pengetahuan anda, buah kurma mengandungi karbohidrat dan juga gula yang tinggi. Dengan kehadiran kandungan kedua-dua nutrien ini, ia sekaligus membekalkan tenaga yang banyak dan lebih tahan lama di dalam badan.

Di samping itu, kurma juga mengandungi serat yang terdiri daripada serat larut dan serat tidak larut. Bagi yang tidak mengetahui, serat penting untuk melancarkan sistem penghadaman memandangkan ia tidak dapat dihadam dan diserap oleh tubuh badan kita.

Oleh sebab itu, jika diambil bersama susu, ia bukan sahaja menjadikan hidangan minuman sahur anda terasa lebih sedap, tetapi juga dapat meningkatkan kecekapan pemakanannya lebih-lebih lagi untuk proses penghadaman.

Seperti yang anda lihat di rak-rak minuman di pasaraya dan kedai runcit, terdapat pelbagai jenama susu kurma yang boleh anda dapati di pasaran. Ia bukan sahaja menawarkan kelebihan yang berbeza tetapi juga mempunyai keunikan yang tersendiri. Jadi, mana satu yang sering menjadi pilihan anda?

#1 Farm Fresh

Menjadi antara pengeluar utama untuk susu kurma, Farm Fresh menawarkan variasi saiz dan jenis botol yang boleh dikonsum oleh pelbagai individu. Ia termasuklah jenis kotak 200ml, kotak 1000ml, botol 700ml dan juga botol 2000ml.

Susu kurma Farm Fresh diperbuat daripada buah kurma dan susu segar. Maka tidak hairanlah mereka menghasilkan pilihan susu kurma yang cukup lazat dan tidak begitu manis jika dibandingkan dengan beberapa tawaran lain di pasaran.

#2 Dutch Lady

Seterusnya, Dutch Lady adalah salah satu pengeluar susu berperisa yang cukup besar di Malaysia. Tidak hanya itu, ia merupakan jenama pilihan kebanyakan penggemar susu tempatan sejak dari kecil lagi kerana ia diformulasikan dengan kandungan UHT yang tinggi kalsium tetapi rendah lemak.

Untuk tidak ketinggalan dalam pasaran minuman, Dutch Lady kini turut menampilkan varian susu kurma yang sesuai diberikan kepada setiap isi rumah sewaktu bersahur. Ia menggandingkan ekstrak kurma asli bersama dengan susu yang lemak berkrim mereka.

Berdasarkan cubaan penulis, susu kurma dari Dutch Lady mempunyai rasa kurma yang lebih ringan dan tidak begitu kuat. Jadinya, ia amat bersesuaian sekiranya anda tidak menggemari rasa kurma yang jelas di dalam minuman.

#3 Goodday

Sama seperti susu berperisa kurma yang lain, Goodday juga menggunakan ektrak asli buah kurma yang mengandungi nutrien yang berkhasiat untuk tubuh.

Namun, apa yang menarik pada susu kurma ini adalah susu segar yang berkualiti yang menjadikannya pilihan utama bagi kebanyakan individu. Bukan itu sahaja, susu kurma Goodday dijual pada harga yang rendah iaitu RM6.45 untuk saiz kotal 1 liter dan RM9.80 untuk pek 6 kotak 250ml.

#4 Origina

Banyak ditawarkan di rangkaian fizikal 7-Eleven di seluruh Malaysia, Origina telahpun memperkenalkan dua pilihan susu kurma iaitu susu kurma bersama kismis dan ekstrak saffron serta susu kurma dengan karamel.

Berbanding dengan pek pembungkusan susu kurma yang lain, jenama ini hadir dengan pek yang mudah bawa selain boleh dikatakan lebih trendy untuk menarik perhatian golongan muda. Sekiranya anda berminat untuk mencuba susu kurma dari Origina, ia kini memperlihatkan rekaan baharu yang lebih minimalis dan dijual pada harga RM3.80 satu pek.

#5 Nilofa

Akhir sekali, jenama susu Nilofa baru-baru ini telah menjadi pesaing utama dalam pengeluaran produk susu berperisa di dalam pasaran tempatan. Bermula daripada penjualan susu pisang, kini Nilofa telah mengeluarkan lebih daripada enam perisa susu berbeza dan dua daripadanya adalah susu kurma.

Antara susu kurma yang boleh anda cuba termasuk susu kurma dengan pisang dan juga susu kurma dengan badam dan kismis. Berdasarkan cubaan penulis sendiri, susu kurma yang diperkenalkan hadir dengan bau yang wangi selain membawakan rasa yang cukup berlemak tetapi tidak terlalu muak.

Namun, berbanding dengan keempat-empat susu diatas, harga jualan susu Nilofa adalah lebih tinggi selain mempunyai rasa yang lebih manis. Oleh itu, anda dicadangkan untuk menambah sedikit air putih untuk rasa yang lebih enak.

Setelah mengetahui kelima-lima jenis susu kurma ini, mana satu pilihan jenama yang anda gemari? Dan apakah faktor yang mempengaruhi keputusan anda dalam memilih sesuatu susu kurma untuk dihidangkan sepanjang Ramadan.