Carian
Bantal Anti-Golek Berisiko Menyebabkan Bayi Lemas Ketika Tidur
November 7, 2022 Lina Rosli

Bantal sememangnya memainkan peranan penting dalam memberi sokongan dan memastikan keselesaan tidur kepada orang dewasa. Dan perkara ini juga seharusnya diberikan tumpuan yang menyeluruh lebih-lebih lagi apabila melibatkan bayi dan anak-anak kecil.

Penggunaan bantal bukan sahaja boleh menyebabkan potensi lemas, tetapi juga turut akan mengehadkan jumlah haba yang boleh dikeluarkan oleh bayi dan mengakibatkan mereka terasa panas.

Lebih-lebih lagi untuk bantal anti-golek atau sleep positioners, ia berfungsi sebagai dinding yang menghalang daripada bayi bergolek dan bergerak. Maka disebabkan itu juga, sekiranya terdapat kemungkinan bayi tersedak semasa tidur, ia menyukarkan mereka untuk bergerak dan memusingkan badan.

Menurut perkongsian dari FDA, penggunaan bantal anti-golek adalah tidak disarankan kerana ia akan mewujudkan persekitaran tidur yang tidak selamat. Hal ini kerana, apabila ia diletakkan pada bahagian perut bayi, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas secara tidak sengaja ataupun lebih teruk lagi Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).

Malah, FDA turut menyatakan bahawa bantal yang dibuat dengan rekaan inden atau lubang di tengah untuk membuai kepala bayi semasa mereka tidur telentang juga tidak diluluskan oleh FDA. Tambah mereka juga, penggunaan bantal jenis itu tidak menampilkan sebarang manfaat dari sudut perubatan.

Dalam laporan dari Institut Kesihatan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan Eunice Kennedy Shriver (NICHD), setiap tahun kira-kira 4,000 bayi mati tanpa diduga semasa waktu tidur akibat sesak nafas, SIDS, atau punca yang tidak diketahui.

Jadinya, untuk mengurangkan risiko sesak nafas, American Academy of Pediatrics mengesyorkan supaya:

  • menidurkan bayi secara telentang
  • meletakkan bayi di atas permukaan yang kukuh dan kosong
  • memastikan permukaan ini tidak boleh mengandungi objek lembut, mainan dan juga bantal
  • mengikat dengan kemas dan rapi katil atau tempat tidur bayi

Nasihat Keselamatan untuk Menidurkan Bayi

  1. Elakkan daripada menggunakan bantal anti-golek untuk bayi. Menggunakan produk jenis ini untuk memegang bayi di sisi atau belakangnya adalah berbahaya.
  2. Dilarang meletakkan bantal, selimut atau fabrik lain di bawah atau di dalam katil bayi.
  3. Sentiasa menempatkan katil bayi dan tempat tidur supaya jauh dari bendasing yang tajam

Sumber: CNN

Komen