Selesema merupakan penyakit biasa yang dihidapi umum. Kebiasannya, apabila seseorang dijangkiti selesema, virus yang menyebabkan jangkitan akan menyerang kawasan hidung dan bahagian atas saluran pernafasan. Simptom-simptom selesema adalah hidung berair/ tersumbat, sakit tekak, batuk, sesak nafas, sakit-sakit badan yang ringan atau sakit kepala, kerap terbersin dan demam ringan.
Secara purata, orang dewasa akan menghidap selesema 2 hingga 3 kali setahun manakala kanak-kanak boleh menghidap selesema sengan lebih kerap. Selesema biasanya akan sembuh dalam tempoh 7 hingga 10 hari, namun boleh mengambil masa yang lebih lama untuk mereka yang merokok.
Wabak Covid-19 yang merupakan salah satu jenis influenza seperti selesema (yang disebabkan oleh virus yang berbeza) membuatkan ramai antara kita yang lebih berwaspada dengan jangkitan selesema. Namun, sekiranya kita boleh menjumpai vaksin untuk melawan jangkitan Covid-19, mengapa tiada sebarang vaksin atau ubatan spesifik yang boleh diciptakan untuk melawan selesema?
Ini adalah kerana:
Terlalu Banyak Virus Penyebab Selesema

Tidak seperti sesetengah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kuman yang tertentu, terdapat lebih 200 jenis virus yang boleh mengakibatkan selesema. Adenovirus dan rhinovirus yang merupakan penyebab umum selesema sahaja mempunyai 100 jenis strain yang berbeza bagi setiap virus. Itu belum termasuk strain untuk influenza, parainfluenza dan respiratory syncytial virus (RSV).
Terlalu Banyak Virus = Terlalu Banyak Ubat

Antibiotik tidak dapat digunakan untuk merawat virus selesema, manakala ubatan antiviral pula hanya berkesan ke atas virus yang spesifik dan tertentu sahaja. Kos untuk mencipta ubat untuk setiap virus penyebab selesema pula adalah tinggi dan mengambil masa yang lama untuk setiap penyelidikan yang dilakukan. Tambahan pula terlalu banyak jenis virus yang boleh menjadi punca penyebab selesema. Jadi, penciptaan ratusan vaksin berbeza untuk setiap virus penyebab selesema adalah tidak praktikal. Inilah sebabnya mengapa ubatan untuk selesema sukar untuk cipta.
Boleh Dikawal dengan Ubatan Lain

Walaupun tiada ubatan spesifik yang dihasilkan untuk merawat selesema, terdapat pelbagai ubatan lain yang boleh digunakan untuk merawat simptom-simptom yang dihidapi semasa selesema. Selalunya apabila anda berjumpa dengan doktor apabila selesema, doktor akan merawat anda dengan memberikan ubat untuk merawat keradangan/ bengkak tonsil, hidung tersumbat, hidung berair, dan/atau sakit kepala. Ubat yang selalu anda terima untuk merawat selesema adalah selalunya antihistamin yang umumnya digunakan untuk merawat alergi. Memandangkan alergi dan selesema mempunyai banyak persamaan dari segi simptom (bersin, hidung tersumbat dan/ atau berair), maka tidak hairanlah sekiranya ia digunakan sebagai ubat untuk merawat selesema.
Mudah merebak

Selesema boleh tersebar dengan titisan air liur/ hingus pengidapnya yang terhasil ketika bersin, batuk atau bercakap. Walaupun anda memakai pelitup muka untuk mengelakkan sebaran cecair badan ketika selesema, anda masih boleh menyebarkannya dengan sentuhan tangan yang telah tercemar dengan air liur atau hingus. Walaupun begitu, selesema biasa pada umumnya tidak mendatangkan impak kesihatan yang terlalu serius, kecuali anda adalah mereka yang dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi dan mempunyai sistem imuniti mudah terjejas.