Pernahkah anda mengalami masalah untuk menguruskan wayar televisyen, wayar pembesar suara, wayar internet, wayar pengecas dan lain-lain wayar di bawah rak atau meja televisyen?
Mana tidaknya, jika anda sekadar menolak dan menyembunyikan wayar di dalam satu ruang, pastinya ia akan berselirat sekaligus menyebabkan ia lebih sukar untuk diaturkan di kemudian hari. Tetapi jika ia dibiarkan sahaja di celah-celah kaki rak, ia kelihatan tidak kemas pula sekiranya dilihat oleh para tetamu.

Oleh itu, hari ini Tajria ingin berkongsikan tips untuk mengelakkan wayar daripada berselerak dan seterusnya menyusunnya dengan cara yang lebih tersusun dan teratur.
Gunakan Saluran Kabel Dinding Untuk Elak Wayar Berselirat
Jika anda tidak mahu ia bersepah di lantai, maka solusi yang pertama perlu dilakukan adalah pasang saluran kabel pada dinding. Ia berfungsi dalam menyimpan wayar selain mengelakkan risiko wayar daripada berselirat antara satu sama lain.
Anda boleh gunakan saluran ini untuk menyembunyikan wayar televisyen, wayar pembesar suara atau mana-mana wayar yang jarang dialihkan dari kawasan berkenaan. Pastikan anda memilih saiz saluran yang berpadanan dan kemudian cat saluran tersebut mengikut warna dinding rumah.

Simpan Wayar Yang Tidak Digunakan Di Dalam Kotak Silinder Tisu Gulung
Untuk memastikan wayar anda sentiasa kemas, jadikan tabiat untuk kerap menggulung dan menyimpannya semula apabila tidak digunakan. Ia bukan sahaja mengurangkan kehadiran wayar pada soket, tetapi juga membantu mengelakkannya daripada berselirat.
Cara paling mudah untuk menggulung wayar tanpa perlu risau ia berselirat dengan wayar lain, anda boleh menggunakan kotak silinder tisu gulung yang telah habis diggunakan untuk menyimpan wayar. Pastikan anda menggulung kabel dengan longgar kerana mengikatnya terlalu ketat boleh merosakkan wayar di dalamnya. Sekiranya anda ingin menggunakan wayar tersebut, hanya luncurkan sahaja gulungan dan pasangkannya seperti biasa.
Sembunyikan Wayar Di Sebalik Rak
Untuk menyelaraskan wayar yang menyambungkan televisyen, pembesar suara, modem internet dan keperluan rumah yang lain, pasangkan satu saluran di sepanjang bahagian belakang permukaan rak dan satu lagi di bawah kaki rak.
Alirkan wayar di sepanjang saluran ini dan anda akan mendapati wayar yang dahulunya tergantung kini berada di belakang meja anda. Dengan cara ini, ia adalah mudah untuk anda menambah atau mengalih keluar kabel daripada saluran ini, yang secara estetik bergabung dengan hiasan keseluruhan anda.

Dengan perkongsian tiga tips ini, ia diharapkan dapat membantu anda mengurus dan menikmati ruang bawah rak yang lebih kemas. Bukan itu sahaja, ia juga sekaligus dapat mewujudkan persekitaran rumah dan ruang bilik yang selamat selain dilindungi daripada bahaya wayar berselirat.