Min Ahmad Diterbitkan 25 April 2022

Sejarah Ikan Sardin Dalam Tin

Sardin dalam tin adalah antara makanan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia sebenarnya bukanlah satu makanan yang baru kerana teknik mengetinkan ikan telah wujud beratus tahun lamanya. Nama ikan sardin itu sendiri berasal daripada Pulau Sardinia di mana pada suatu masa dahulu, ikan sardin boleh didapati dengan banyaknya di persekitaran Laut Mediterranean.

Terdapat 21 jenis ikan diklasifikasikan dalam kategori sebagai ikan yang boleh dijadikan sardin dalam tin. Selain ikan sardin itu sendiri (yang terdiri daripada genera Sardina, Sardinops, Sardinella dan Dussumeira), ia termasuklah ikan herring, sprat, scad dan makerel.

Sejarah Awal Penciptaan Makanan Dalam Tin

Nicholas Appert ialah seorang tukang masak professional yang berhijrah dari Champagne ke Paris untuk mengejar cita-cita beliau dalam bidang masakan. Bermula pada tahun 1784 di Paris, beliau ialah seorang chef dan menjual makanan pencuci mulut. Ketika inilah beliau telah membina minat untuk mencari kaedah-kaedah terbaik untuk mengekalkan rasa dan tekstur gula-gula agar mampu bertahan lama.

Pada tahun 1795, Appert telah mula berekperimentasi untuk memulihara pelbagai bahan makanan lain. Beliau telah meletakkan makanan yang tidak mampu bertahan lama ke dalam balang kaca yang dikedapkan dengan gabus dan salutan lilin yang kemudiannya direbus dalam air mendidih. Teknik ini berjaya menghasilkan sup, sayuran, jus, produk tenusu, jeli, jem dan sirap gula yang mampu bertahan untuk disimpan dalam tempoh jangka masa yang panjang. Kaedah memanaskan makanan ini kemudiannya di buktikan oleh Louis Pasteur, bapa mikrobiologi moden puluhan tahun kemudian sebagai efektik untuk membunuh bakteria dalam makanan, yang sekaligus dapat memanjangkan hayat makanan. Appert kemudiannya telah mempatenkan kaedah ini dan kemudiannya mengasas kilang pembotolan makanan pertama di dunia.

Pada masa yang sama, nelayan-nelayan di nelayan-nelayan di kawasan Breton, di kawasan perikanan di utara Perancis, akan menggoreng ikan sebelum disimpan di dalam balang yang diperbuat daripada tanah liat. Mereka akan menggunakan ikan ini sebagai bekalan makanan mereka apabila ke laut. Teknik ini telah dikongsikan oleh rakan Appert kepada beliau yang ketika itu sedang mempelbagaikan jenis makanan yang boleh dibotolkan.

Apabila Perang Napoleon meletus di Eropah pada 1803, kerajaan Perancis mengalami kesukaran untuk membekalkan makanan yang mampu bertahan lama kepada barisan tentera mereka yang berperang. Oleh itu, kerajaan Perancis menawarkan 12,000 francs kepada sesiapa yang boleh menawarkan kaedah mengawetkan makanan dengan sempurna. Namun tiada siapa pun yang tampil sebagai pemenang sehinggalah Kerajaan Perancis menawarkan Nicolas Appert sejumlah wang tersebut pada tahun 1810 dengan syarat beliau harus mendedahkan proses beliau kepada umum. Appert bersetuju dan sebuah buku dan sebuah buku bertajuk L’Art de conserver les substances animales et végétales diterbitkan pada tahun 1810 yang menerangkan kaedah pemuliharaan dan penyimpanan makanan beliau. Ini adalah buku pertama seumpamanya mengenai kaedah pengawetan makanan moden, dan atas ini, Nicholas Appert dikenali sebagai bapa pengetinan (father of canning).

Walaubagaimanapun, penggunaan botol kaca adalah tidak sesuai untuk dipasarkan kerana mudah pecah. Tidak lama selepas penerbitan buku Appert, Peter Durand telah mempatenkan teknik pengawetan makan dengan kaedah yang sama, tetapi kali ini dalam tin. Ini telah menggerakkan proses pengetinan secara moden dan pada skala besar-besaran.

Dengan kaedah pengetinan ini, hasil pertanian, produk ternakan, tenusu, hasil laut dan makanan yang sedia dimakan dapat dipasarkan dan dijual dalam kuantiti yang banyak tanpa perlu risau ia akan menjadi rosak.

Sardin Dalam Tin

Permintaan untuk sardin dalam tin dari Perancis bertambah kerana ia dapat dipasarkan dari Brittany ke seluruh Perancis dan juga di seluruh dunia dengan mudah. Permintaan terhadap sardin dalam tin pada masa itu meningkat daripada 30,000 tin setahun pada 1836 kepada 50 juta tin setahun pada 1850. Menjelang penghujung kurun ke-19, Brittany menjadi pengeluar utama sardin dalam tin dunia dan Perancis memonopoli pasaran ke atas produk dalam tin pada masa itu. Namun kini, Sepanyol dan Portugal telah mengambilalih tempat Perancis sebagai pengeluar utama sardin dalam tin dunia.

Manakala di Tanah Melayu dan Singapura, pengeluaran sardin dalam tin dicetuskan oleh Alfred Clouet, seorang kolonis Perancis yang juga merupakan pengasas Ayam Brand pada tahun 1892. Selepas mendapati bahawa ikan sardin boleh didapati dengan banyak di pasar-pasar basah di sekitar Malaya, beliau mula menghasilkan produk sardin dalam tin pada tahun 1899. Sudah pun berada dalam pasaran tempatan sejak lebih 100 tahun lalu, maka tidak hairanlah ikan sardin dalam tin kini sudah berasimilasi dengan citarasa dan menu masyarat tempatan Malaysia, tanpa mengira kaum.