Setelah dua tahun tidak pulang ke kampung untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, pastinya ramai individu tidak ingin melepaskan peluang untuk menyambut raya bersama keluarga tercinta.

Oleh sebab itu, berdasarkan laporan Utusan, kira-kira 14 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara untuk pulang ke kampung tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan.

Dengan jumlah kenderaan yang banyak ini, seharusnya anda mengekalkan tahap peka dan waspada sepanjang pemanduan pulang ke kampung halaman. Tahukah anda, mengikut statistik yang dikeluarkan sebelum ini, sebanyak 20,1393 kemalangan semasa Hari Raya Aidilfitri telah direkodkan pada tahun 2019.

Ini menjadikan faktor mengapa anda perlu kekal berhati-hati dan melakukan persiapan mental dan fizikal yang kuat sebelum memandu pulang ke kampung. Selari dengan itu juga, Qoala iaitu syarikat InsurTech terbesar Asia Tenggara telah berkongsi enam kawasan panas (hotspot) kemalangan jalan raya yang perlu anda berwaspada.

#1 Lebuhraya Utara-Selatan

Kawasan antara Rawang dan Simpang Pulai mencatatkan peningkatan terbesar antara 127 hingga 145 peratus pengguna jalan raya dan telah mencatatkan beberapa kes kemalangan.

Untuk pengetahuan anda, jarak dari Rawang ke Simpang Pulai ialah 165km dengan purata pemanduang di atas jalan raya sekitar 1 jam dan 33 minit. Sekiranya anda menggunakan jalan ini, ia akan pergi melalui Bukit Beruntung, Slim River, Sungkai dan Gopeng.

#2 Lebuhraya Karak

Faktor utama kemalangan di kawasan Lebuhraya Karak adalah disebabkan selekoh yang tajam dan berbahaya. Oleh itu, anda perlu berhati-hati sewaktu memandu lebih-lebih lagi ketika waktu hujan kerana ia berisiko mengalami tanah runtuh.

Di kawasan ini juga, terdapat kemalangan yang telah direkodkan berlaku di laluan berliku-liku menuju ke Genting Highlands dan Bentong. Jarak lebuh raya ini adalah 60km dengan waktu berada di jalan sekitar satu jam.

#3 Lebuhraya Persekutuan

Lebuhraya Persekutuan merupakan salah satu laluan yang paling kerap digunakan di Lembah Klang. Sekiranya anda melalui laluan ini, anda akan mendapati bahawa ia mempunyai struktur permukaan jalan yang sedikit beralun selain mempunyai laluan yang panjang dan lurus.

Pada waktu malam, laluan ini cukup popular sebagai trek lumba haram dalam kalangan pengguna jalan raya tidak kira motor atau kereta. Jarak untuk Lebuhraya Persekutuan adalah sepanjang 45km dengan durasi atas jalan sekitar 45 minit.

#4 Simpang Pulai-Cameron Highlands

Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands merupakan laluan yang menghubungkan negeri Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu di Semenanjung Malaysia.

Laluan ini terkenal dengan selekoh tajam dan cerun yang curam terutamanya berhampiran Cameron Highlands. Pemandu perlu berhati-hati di kawasan ini kerana ia memerlukan kawalan dan pengendalian stereng yang teliti.

Jarak perjalanan daripada Simpang Pulai ke Cameron Highlands adalah sekitar 89 km (Tanah Rata) yang memakan masa perjalanan lebih dari satu jam di atas jalan raya.

#5 Lebuhraya Pan Borneo

Lebuhraya Pan Borneo adalah laluan yang menghubungkan Bintulu dan Miri. Ia merupakan antara lokasi kemalangan maut yang popular. Pihak polis telah mengklasifikasikan 35 lokasi panas di sepanjang lebuh raya di Sarawak terutamanya di Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong.

#6 Lebuhraya Lipis-Merapoh

Laluan ini terkenal dengan kemalangan bas yang telah berlaku pada tahun 2003. Kemalangan ini dilihat telah mengorbankan 14 nyawa akibat kesilapan manusia.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan bahawa 80.6 peratus kemalangan jalan raya di laluan ini berpunca kelalaian sewaktu pemanduan termasuk cara pemanduan yang berbahaya.

Selain kemalangan ini, banyak kemalangan lain yang telah berlaku di kawasan ini menjadikan laluan ini sebagai salah satu laluan paling berbahaya di Malaysia. Untuk pengetahuan anda, jarak laluan Lebuhraya Lipis-Merapoh adalah 77km dengan masa memandu sekitar 53 minit.

Berdasarkan maklumat yang telah dikongsikan di atas, pihak Qoala ingin menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berwaspada terutama ketika melalui 6 kawasan panas lebih-lebih lagi sepanjang musim perayaan ini. Kepulangan anda dinantikan dengan penuh kegembiraan oleh keluarga tersayang.

Semoga perjalanan anda selamat dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.