Jika tidur adalah sukan Olimpik, pasti kucing adalah juara berturut-turut untuk sukan berkenaan. Hal ini kerana, menurut perkongsian pakar, selain daripada makan, aktiviti utama kucing yang lain adalah tidur tanpa kira waktu sama ada siang mahupun malam.

Sama seperti manusia, kucing mempunyai jumlah tidur yang mereka perlukan. Dalam setiap keadaan, ia bergantung pada umur, kesihatan, suasana hati dan banyak lagi.

Sebagai contoh, anak kucing dikatakan akan tidur lebih banyak sepanjang hari. Namun, apabila mereka sudah sedikit besar, kucing mungkin tiba-tiba akan membina tabiat tidur yang berbeza mengikut aktiviti harian mereka.

Untuk kucing tua, mereka berkemungkinan besar akan menghadapi lebih banyak masalah untuk bergerak. Jadinya, anda menjangkakan untuk melihat tempoh tidur mereka lebih sekejap berbanding kucing lain.

Berapa Lama Tempoh Tidur Untuk Kucing?

Secara purata, kucing tidur sekitar 12 hingga 16 jam sehari. Namun, ada keadaan lain yang mana durasi tidur mereka boleh mencecah sehingga 20 jam dalam tempoh 24 jam.

Ini menyaksikan peratus yang cukup tinggi iaitu sekitar 66% daripada keseluruhan waktu harian mereka dihabiskan dengan hanya tidur. Apa yang menyebabkan ini berlaku?

Untuk pengetahuan ada, waktu paling kerap kucing tidur adalah ketika waktu siang yang mana mereka cenderung untuk mendapatkan rehat yang secukupnya selepas makan. Faktor ini turut dipengaruhi dengan tabiat mereka yang meningkat aktif pada waktu malam.

Mengapa kucing tidur pada waktu siang dan aktif pada waktu malam? Perkara ini adalah disebabkan oleh keadaan fisiologi mereka. Memandangkan kucing adalah pemangsa semula jadi, otak dan badan mereka akan berfungsi lebih baik di malam hari. Di tambah lagi dengan daya penglihatan yang lebih jelas pada waktu malam, kucing dapat menangkap mangsa dengan lebih cekap dan berkesan apabila berada di dalam gelap.

Kesan daripada berjaga malam juga, kucing telah menggunakan kapasiti tenaga yang banyak dan sekaligus membuatkan mereka untuk mendapatkan tidur sebanyak mungkin pada waktu cerah.

Apa Yang Membuatkan Tempoh Tidur Kucing Menurun?

Perubahan waktu tidur kucing ini boleh dipengaruhi dengan jadual pemilik mereka. Sebagai contoh, jika rutin pergi ke pejabat anda adalah pada pukul 7.00 pagi, kucing akan menyesuaikan diri dan melaraskan jadual mereka mengikut jadual tersebut.

Tidak sekadar itu, keselesaan juga turut akan memberi kesan kepada waktu tidur mereka. Contohnya, apabila kucing terdedah kepada jumlah cahaya yang lebih tinggi, mereka berkemungkinan besar untuk tidur lebih kurang daripada waktu lain.

Akhir sekali, emosi yang terganggu juga boleh menyebabkan penurunan tempoh tidur mereka. Jadi, pastikan anda memberikan layanan yang baik dan menyediakan semua keperluan mereka untuk tidur yang lebih berkualiti.