Carian
Amalkan Konsep Snek Bijak – Bantu Keseimbangan Emosi Sepanjang Hari
April 22, 2022 Lina Rosli

Sepanjang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, sedarkah anda yang mana rata-rata individu gemar mendapatkan snek lewat malam atau moreh?

Pengambilan snek lewat malam ini sebenarnya boleh memberikan kesan kepada tubuh badan. Namun, jika diambil secara bijak, ia bukan sahaja memberikan manfaat kesihatan yang sepenuhnya, tetapi juga berupaya menggantikan nutrisi yang diperlukan setelah hampir seharian menjalani ibadah puasa.

Menurut kajian State of Snacking Report yang dikendalikan oleh Mondelēz International, trend terkini menunjukkan kebanyakan pengguna kerap menggantikan hidangan utama dengan snek yang bertenaga tinggi dan berkhasiat. Ia mungkin disebabkan oleh faktor gaya hidup yang memerlukan mereka mendapatkan nutrisi daripada makanan dalam bentuk mudah.

Snek yang sesuai untuk menggantikan air dan nutrisi selepas berbuka puasa

Tahukah anda, terdapat segelintir individu sering makan secara berlebihan sewaktu berbuka terutamanya apabila dihidangkan juadah kegemaran mereka. Perkara ini haruslah dipandang serius kerana sekiranya tidak dikawal dengan baik, ia boleh mencetuskan peningkatan paras gula naik secara mendadak dan turut mengakibatkan masalah penghadaman. 

Oleh sebab itu, anda disarankan untuk berbuka dengan sebiji kurma dan air, diikuti dengan juadah yang lengkap dan seimbang. Kemudian, rehat seketika untuk membolehkan tubuh badan menghadam makanan dengan sempurna sebelum menikmati pencuci mulut atau snek pilihan.

Antara makanan yang digalakkan untuk dinikmati selepas berbuka puasa ialah pencuci mulut yang rendah gula seperti sup atau bubur untuk menghidratkan tubuh badan. Selain itu, buah-buahan dan sayur campuran seperti salad juga berkhasiat bagi menggantikan kandungan air dalam tubuh, serta kekacang dan pelbagai jenis buah beri yang kaya dengan lemak, vitamin dan mineral untuk membantu memulihkan tenaga.

Manakala selepas solat Tarawih pula, minum air secukupnya dan ambil makanan yang rendah gula, garam dan kurang minyak dalam saiz yang sederhana. Elakkan mengambil makanan berat seperti mi goreng, teh yang terlalu manis atau pencuci mulut yang tinggi kandungan gula ketika moreh.

Sebaliknya, pilihlah snek seperti pisang, badam dan minuman seperti susu atau teh kosong yang mampu membantu anda tidur dengan lena. Pastikan anda tidak mengambil sebarang makanan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam sebelum tidur untuk mengelakkan masalah penghadaman.

Sahur yang ringkas lagi bertenaga membawa perubahan yang besar

Sekiranya anda jarang bersahur, tubuh badan anda mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri untuk menjalani ibadah puasa. Ada juga di antara kita yang menghadapi cabaran kurang selera makan di awal pagi sewaktu bersahur, atau lebih suka mengambil makanan berat sebelum tidur.

Namun, adalah digalakkan untuk bersahur selewat yang mungkin dengan juadah yang berkhasiat supaya dapat mengekalkan tubuh badan yang bertenaga dan mengurangkan rasa lapar dan dahaga di siang hari untuk lebih lama.

Makanan yang kaya dengan protein dan serat misalnya ayam, telur, bijirin penuh seperti oat atau barli serta kekacang amat disarankan untuk menu sahur kerana memerlukan lebih masa untuk dihadam. Secara tidak langsung ianya dapat membantu mengawal rasa lapar anda sepanjang hari.

Selain itu, pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, yogurt, keju atau sayur-sayuran amat bersesuaian untuk kekal kenyang dan terhidrat

Tabiat pemakanan yang betul memberi manfaat dan kebaikan untuk kesihatan kita. Jadi, marilah kita sama-sama merenung semula tabiat pemakanan kita sepanjang bulan Ramadan mulia ini. Ambillah makanan secara berpada-pada dan amalkan snek bijak seperti apa yang kami kongsikan untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan tenaga badan.

Komen