Berita baik khas buat mereka yang meminati sukan dan bersenam, sempena Hari Raya ini, anda boleh menambah seri pada pakaian dan aksesori senaman anda dengan menggayakan koleksi ST/ART Pack daripada HOKA.

Koleksi ini menampilkan pilihan warna yang baharu yang mana ia boleh didapati pada empat model kasut HOKA yang paling digemari. Menurut HOKA, koleksi ST/ART Pack diinspirasikan oleh seni jalanan, warna-warna cerah yang ingin melahirkan rasa berani dalam diri untuk mengharungi perjalanan ke arah kecergasan.

Antara empat model kasut yang dipilih ini HOKA, Arahi 6, Clifton 8, Kawana dan Mach 4. Kesemua model ini berkongsi ciri penting yang menjadi kelebihan kepada jenama ini iaitu kusyen lembut yang memberi sokongan, tarikan tumit yang dilanjutkan dan jaringan kasut yang direka khas untuk keselesaan pengguna.

Selain itu, bagi keempat-empat model ini juga, ia mempunyai ciri-ciri unik mereka yang tersendiri dan telahpun disesuaikan mengikut keperluan pelari.

  • Arahi 6 memberikan keseimbangan dan sokongan dengan kusyen yang maksimum dan berat yang minimum. Malah, turut diperhalusi dengan lidah kasut yang lembut dan bahagian atas yang lebih ringan.
  • Clifton 8 ialah siluet terkini bagi model ikonik Clifton yang memenuhi keperluan pemakai kali pertama kasut HOKA. Ia dipertingkatkan dengan busa tapak tengah baharu yang menjadikannya 15 peratus lebih ringan daripada model sebelumnya.
  • Kawana pula bersesuaian untuk pelari yang mendambakan pengalaman berlari yang lancar. Ia mempunyai busa tapak baharu yang memberikan lantunan padu dan crash pad yang diubah suai dengan geometri SwallowTail™ yang direka untuk peralihan tumit ke kaki yang lebih lancar.
  • Mach 4 pula memfokuskan kepada kelajuan yang mana binaannya adalah lebih ringan. Untuk bahagian atas pula, HOKA telah memperbaharui rekaannya dengan benang sulam TPU yang dipasangkan dengan tekanan haba, dan bentuk kolar halus yang mengurangkan tekanan pada tendon Achilles.

ST/ART Pack boleh didapati di kedai Running Lab mulai hari ini yang mana anda boleh mula mengunjungi Running Lab Pavilion dan Running Lab The Gardens Mall.