Tempahan untuk langsir baharu sememangnya boleh menjadi sangat mahal, dan ramai dalam kalangan pemilik rumah akan melabur dalam langsir yang menggunakan fabrik premium dan mewah.

Oleh sebab itu, satu kesilapan sewaktu proses cucian, ia boleh merosakkan langsir anda sekaligus membuatkannya tidak kembali kepada sediakala.

Bagi mengurangkan risiko fabrik rosak dan menjadi terlalu berkedut sewaktu pemasangan semula, Tajria hari ini akan berkongsi beberapa tips yang boleh anda praktikkan untuk cucian langsir sempena raya tahun ini.

Tips Kurangkan Kesan Kedut Pada Langsir Jika Guna Mesin Basuh

Langkah pertama yang harus anda lakukan untuk memastikan langsir yang dibasuh tidak rosak dan tidak berkedut seribu, amalkan tabiat membaca label pada langsir bagi mengetahui cara merawat fabrik yang terbaik.

Jika tertera pada label langsir ianya memerlukan cucian kering, maka sangat disyorkan untuk membawanya ke perkhidmatan langsir profesional untuk mendapatkan servis cucian langsir berserta servis menghilangkan kedut langsir. Namun, jika tidak, hanya sapukan air untuk menghilangkan kedutan yang lebih cepat.

  1. Selepas anda meletakkan langsir ke dalam mesin basuh, pastikan anda menetapkan kitaran mesin kepada pilihan kitaran lembut dan memilih durasi putaran yang pendek.
  2. Untuk mengeringkannya pulam tetapkan pengering untuk kitaran yang tidak terlalu panas. Untuk hasil yang lebih baik, tambah tuala kecil supaya langsir tidak bercantum dan berkedut.
  3. Elak daripada membiarkan langsir terlalu lama di dalam pengering. Ia bimbang pada tempoh tersebut akan menghasilkan kedutan yang lebih sukar untuk ditegangkan semula.
  4. Untuk hasil dan paparan langsir yang lebih kemas, jangan lupa untuk menggunakan saterika wap dan perlahan-lahan gerakkannya ke atas kain langsir. Harus diingatkan, kangan letakkan muncung saterika wap terus pada fabrik halus seperti baldu atau sutera.
  5. Namun, jika anda menggunakan saterika biasa, gunakan tetapan rendah untuk menyeterika menghilangkan kedutan. Letakkan kain di atas sisi kain langsir untuk menghilangkan kedutan yang lebih degil. Anda juga boleh menyembur air ke atas kain dan menyeterika perlahan-lahan pada tetapan rendah untuk melicinkan kedutan.