Sunway Medical Centre (SMC) atau Pusat Perubatan Sunway telah memenangi anugerah ‘Hospital of the Year’ dan ‘Smart Hospital Initiative of the Year’ di acara Anugerah Pusat Kesihatan Asia 2022 (Healthcare Asia Awards 2022) pada 25 April lepas.

Bagi yang tidak mengetahui, SMC merupakan sebuah institusi perubatan bertauliah dibawah pengurusan Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS). Ia mula ditubuhkan pada November 1999 dan tersenarai sebagai salah satu pusat perubatan swasta terkemuka di rantau Asia.

Menjadikannya sebagai pemenang Anugerah Inisiatif Hospital Pintar Bagi Tahun 2022, berikut adalah senarai penawaran yang memfokuskan teknologi di SMC:

  • Penggunaan Nemuri SCAN untuk wad. Teknologi ini menampilkan sistem penggera pencegahan jatuh secara terbina dalam pada katil hospital. Ia turut dilengkapi dengan ciri yang boleh mengukur kadar tidur, jantung dan pernafasan pesakit secara berterusan.
  • Menawarkan kemudahan radioterapi yang canggih, iaitu Leksell Gamma Knife Icon. Ia adalah untuk rawatan sinaran lanjutan untuk pelbagai keadaan neurologi. Mesin bukan invasif ini memancarkan sinaran berdos tinggi ke sasarannya dan hanya memberikan rasa sakit yang sedikit selain memastikan tiada kerosakan pada tisu sekeliling.
  • Menyediakan Sunway iLabs untuk membina Pod Ujian COVID-19 tanpa sentuhan. Teknologi ini membolehkan pekerja kesihatan menjalankan ujian untuk kes yang disyaki dalam persekitaran yang lebih selamat dan mengurangkan risiko jangkitan. Ia juga mengurangkan penggunaan peralatan pelindung diri (PPE) yang kekurangan bekalan di seluruh dunia pada masa itu.
  • Penggunaan sistem telekonsultasi yang membolehkan pesakit terus berunding dengan doktor dari rumah.

Dengan kehadiran sistem dan teknolgi canggih ini di SMC, ia dilihat telah banyak membantu menguruskan pesakit dengan lebih baik tidak kira sama ada sewaktu tempoh diagnosis dilakukan, tetapi juga sepanjang proses pengurusan pesakit di hospital.