KFC UK kini telah mula membuka senarai menunggu bagi mendapatkan beg istimewa yang dikenali sebagai The KFC Wrapuette.

Ia merupakan beg khusus yang ditawarkan bertujuan untuk menyimpan dan membawa hidangan KFC Twister Wrap di dalam dengan sempurna dan lebih bergaya. Menurut perkongsian di KFC Shop UK, beg ini mendapat inspirasi daripada bentuk beg Baguette Y2K yang kebanyakannya ditawarkan oleh jenama-jenama mewah seperti Dior, Prada, Fendi dan Gucci.

Untuk menjadikan beg The KFC Wrapuette lebih dekat dengan gaya KFC, rekaannya dilengkapi dengan kemasan merah yang cukup anggun klasik selain memaparkan tekstur pada permukaan beg yang cukup minimalis. Hanya beberapa aksesori sahaja yang kelihatan iaitu rantai kunci huruf ‘K’, ‘F’ dan ‘C’ berserta logo muka ikonik atuk KFC.

Setakat ini, ia hanya tersedia di UK sahaja yang mana ia ditawarkan pada harga £198 iaitu sekitar RM1080.54. Walau bagaimanapun, KFC menyatakan jualan untuk beg ini bukanlah untuk mengaut keuntungan kerana bagi semua janaan pendapatan yang diterima akan disalurkan kepada Yayasan KFC bagi memperkasakan golongan muda di seluruh UK.