Dengan pelancongan dan dunia kembali pulih seperti pra-Covid-19 kembali, salah satu industri yang turut pulih adalah industri penerbangan.

Bercakap mengenai industri penerbangan, salah satu perkara yang tidak diminati ramai adalah apabila penerbangan yang telah ditempah dibatalkan atau mengalami penundaan. Ini sekaligus membawa kepada perubahan kepada pelbagai perancangan anda – dan mungkin juga sukar sekiranya ada mempunyai penerbangan sambungan yang mungkin boleh terlepas disebabkan hal ini.

Menyentuh mengenainya, MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) telah menetapkan syarikat penerbangan mungkin perlu menyediakan pampasan sekiranya penundaan atau pembatalan dilakukan – dalam membantu anda meneruskan perjalanan.

Menurut MAVCOM, sekiranya penangguhan berlaku selama 2 jam atau lebih, maka penumpang berkenaan boleh terima pampasan merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet.

Sekiranya penangguhan adalah selama 5 jam atau lebih, pampasan yang boleh diterima adalah dalam bentuk penginapan hotel dan pengangkutan.

MAVCOM turut mengatakan penumpang boleh mendapatkan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif sekiranya penerbangan tersebut dibatalkan.

makanan, panggilan telefon dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih);

penginapan hotel dan pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih);

pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan).

Apa pun, satu-satunya pengecualian untuk pampasan ini adalah sekiranya berlaku “keadaan luar biasa” – termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrim dimana syarikat penerbangan tersebut tidak dapat menjangkakannya.

MAVCOM turut menyatakan sekiranya anda tidak menerima pampasan sewajarnya, anda boleh kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut, sebelum menghubungi MAVCOM.