Apabila umur semakin lanjut, sudah semestinya tubuh badan akan mula memerlukan makanan yang mengandungi khasiat yang baik selain menawarkan nutrisi yang penuh.
Jadinya, adalah sangat penting untuk setiap individu mula mengamalkan diet yang sihat sejak dari awal lagi bagi mencegah penyakit kronik yang sukar untuk dirawat. Apabila amalan pemakanan yang baik telah diterapkan sewaktu kecil, ia bukan sahaja membantu menyediakan nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan dan pembaikan sel dengan lebih baik, tetapi juga memberikan tenaga yang mencukupi untuk tubuh badan kekal aktif sepanjang hari.

Kunci utama untuk amalan pemakanan yang baik adalah menampilkan senarai hidangan yang mengandungi khasiat yang tinggi selain tidak mengandungi terlalu banyak mana-mana satu nutrien. Ia bagi mengelakkan pengambilan yang melebihi jumlah yang disyorkan setiap hari.
Tahukah anda, badam merupakan makanan yang paling berkhasiat dan mempunyai nutrisi paling banyak di dunia?
Berdasarkan perkongsian BBC, badam menduduki tangga pertama dalam senarai makanan paling berkhasiat di dunia dengan skor nutrisi tertinggi iaitu 97 per 100. Skor nutrisi ini diperoleh menerusi pengiraan yang merangkumi nilai nutrien yang perlu dihadkan seperti kalori, lemak tepu, gula dan garam bersama nilai khasiat yang diperlukan seperti serat dan protein bagi setiap 100g hidangan.
Dan daripada situ, ia mendapati kira-kira 20 biji badam akan memberikan anda lebih banyak protein berbanding sajian yang menggunakan telur di dalamnya.

Ketahui Khasiat Yang Terkandung Di Dalam Badam
Untuk pengetahuan anda, badam mengandungi mangan yang penting untuk struktur tulang selain membantu membina kekuatan tulang. Sekiranya badan anda mengalami kekurangan mangan, ia boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi, masalah peredaran darah, masalah tulang, dan gejala lain yang boleh memberi kesan buruk kepada tubuh.
Selain itu, antara nutrien lain yang penting di dalam badam adalah Vitamin B. Dengan kehadiran vitam ini, ia dapat memastikan badan kita berjalan dengan baik sekaligus dapat menukar makanan kepada tenaga yang diperlukan untuk melakukan tugas harian.
Sementara untuk para wanita pula, kehadiran Vitamin E di dalam badam pastinya akan membuatkan hati anda berasa tenang. Mengapa sedemikian? Ia kerana vitamin E mempunyai sifat anti-oksidan yang dapat membantu mengedarkan darah ke kulit serta membantu menyuburkan sel kulit. Ia sekaligus menghasilkan kulit yang lebih anjal dan tampak awet muda.