Berdasarkan perkongsian dari laman Facebook Public Health Malaysia, ia menampilkan data yang menunjukkan nilai purata ketinggian rakyat di 4 buah negara Asia iaitu Malaysia, Singapura, Jepun Dan Korea Selatan.

Jika dibandingkan antara kesemua negara tersebut, rakyat Malaysia mempunyai ketinggian yang berpurata 164.7 cm untuk lelaki dan 153.3 cm untuk wanita yang mana secara keseluruhannya nilai tersebut adalah dibawah 165cm.

Sementara rakyat Korea Selatan pula menunjukkan angka purata yang lebih besar iaitu 175.3cm untuk lelaki dan 162.6cm untuk wanita. Fakta ini bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana jika anda lihat ketinggian kebanyakan selebriti di negara tersebut boleh dikatakan agak tinggi yang mana ia boleh mencecah sehingga angka 190cm hingga 200cm.

Menurut Public Health Malaysia lagi, perbezaan ketinggian dan pertumbuhan ini mungkin disebabkan oleh gaya pemakanan yang diamalkan individu semasa fasa tumbesaran kanak-kanak dan remaja. Dalam erti kata lain, kebanyakan rakyat Korea Selatan memperoleh nutrien yang mencukupi untuk membantu mereka tumbuh dengan lebih tinggi.

Selain itu, tidak hanya tertumpu kepada pengambilan makanan yang sihat, mereka turut memastikan setiap individu mendapatkan tidur yang cukup dan perlaksanaan aktiviti kecergasan yang konsisten. Kesan daripada itu, tubuh badan dilihat dapat memproses dan menyerap nutrisi dengan lebih baik dan lancar.