Untuk pengetahuan anda, sejak daripada tahun 2014 sehingga 2019, sebanyak 2,205 ekor hidupan liar telah dilaporkan terlibat dengan kemalangan jalan raya di seluruh Malaysia. Antara haiwan yang kerap terlibat dalam kemalangan ini termasuklah kucing batu, kera, biawak, gajah, rusa, tapir dan banyak lagi.

Di Negeri Sembilan, sebanyak 943 kemalangan direkodkan yang mana ia melibatkan binatang melintas termasuk haiwan-haiwan ternakan. Sementara, Terengganu pula mencatatkan 61 kemalangan jalan raya dalam tempoh enam bulan pertama 2019 di daerah ini membabitkan haiwan berkeliaran.

Berdasarkan perkongsian, kebanyakan hidupan liar ini mati dilanggar di kawasan sekitar jalan raya yang berdekatan dengan hutan. Faktor ini mungkin disebabkan oleh kawasan hutan yang gelap dan selekoh yang berbahaya menyukarkan pemandu untuk mengenalpasti haiwan di hadapan.

Bukan itu sahaja, penebangan pokok di hutan telah mengancam habitat hidupan sekaligus mengakibatkan mereka mula berkeliaran di jalan raya.

Malah terdapat juga kecendurangan yang mana akan berlaku konflik antara manusia dan hidupan liar. Untuk pengetahuan anda, pada Julai dan Ogos tahun 2019, terdapat kes yang melibatkan gajah mengamuk di Jalan Mawai Kota Tinggi dan Jalan Raya Timur-Barat arah Grik dan Jeli.

Bagaimana Cara Untuk Mengurangkan Risiko Kemalangan Melibatkan Hidupan Liar?

Di kebanyakan jalan raya telahpun tersedia dengan pelbagai jenis tanda amaran untuk hidupan liar. Dengan adanya papan tanda ini, ia membantu pemandu lebih cakna dengan kawasan berbahaya sekaligus memberi amaran kepada pemandu supaya memandu dengan lebih berhati-hati.

Secara umumnya, apabila anda melihat papan tanda itu, ia tidak bermaksud anda perlu memperlahankan kelajuan kenderaan pada had tertentu, tetapi ia diperlukan bagi menjadikan pemandu lebih bersiap-sedia dengan bahaya di hadapan.

Jadinya, pastikan anda mematuhi tanda amaran hidupan liar dan sebarang perubahan kelajuan yang berkaitan. Ingat juga bahawa anda tidak boleh mengabaikan papan tanda walaupun telah dilihat berkali-kali sebelum ini.

Selain itu, amalkan 5 tabiat berikut sewaktu memandu di kawasan hutan dan gelap:

  • Memandu dengan kelajuan yang lebih rendah dapat membantu anda memerhatikan seluruh keadaan jalan dan menjauhi objek berbahaya di jalan raya.
  • Tumpukan perhatian penuh pada lebih-lebih lagi jika anda memandu di jalan yang lurus dan membosankan.
  • Mengenalpasti jarak yang diperlukan untuk berhenti.
  • Memantau secara aktif aktiviti di kawasan yang dilalui.
  • Memancarkan lampu yang lebih cerah sekiranya anda memandu seorang diri di kawasan gelap.

Akhir sekali, bagi sesiapa yang berminat untuk menyalurkan maklumat mengenai hidupan liar kepada Jabatan PERHILITAN, anda boleh menghubungi mereka di talian 1-800-88-5151 atau boleh layari laman rasmi Wildlife Gov bermula hari ini.