Carian
Sudah Cuba Nescafe Gold Cappuccino Ice Cream Baharu?
May 11, 2022 Lina Rosli

Pada tahun 2020 yang lalu, Nescafe dilihat mula menawarkan siri minuman Nescafe Gold kepada umum. Ia merupakan barisan kopi panggang dari Nescafe yang mempunyai rasa kopi yang cukup kuat dan pekat berbanding variasi yang lain.

Berdasarkan butiran produk yang dikongsikan, Nescafe Gold membawakan gabungan dua variasi biji kopi iaitu Arabica dengan Robusta.

Kemudian, ditambah dengan rasa unik yang tidak boleh dinikmati pada mana-mana siri Nescafe yang lain, ia sekaligus menghasilkan kopi dengan rasa karamel yang lembut dan mengeluarkan aroma yang lebih wangi untuk anda cuba.

Nescafe Gold Kini Memperluaskan Tawaran Produk – Aiskrim Cappuccino Nescafe Gold

Selain daripada minuman, Nescafe turut mula menawarkan pilihan aiskrim dibawah siri Nescafe Gold iaitu Nescafe Gold Cappuccino Ice Cream.

Mengulas lanjut mengenai aiskrim ini, Nescafe menggunakan aiskrim vanila yang lembut dan berkrim pada bahagian dalam dan kemudian melengkapkannya dengan salutan kopi Nescafe Gold pada bahagian luar.

Berdasarkan pandangan daripada salah seorang yang telah mencuba Nescafe Gold Cappuccino Ice Cream ini, tidak seperti Magnum yang hadir dengan salutan coklat yang rangup pada bahagian luar, Nescafe tampil membawakan sedikit kelainan untuk salutan kopi mereka.

Tekstur salutan tersebut boleh dikatakan agak likat dan tidak rapuh yang menjadikannya lebih mudah untuk dimakan. Disebabkan itu juga, ia berkemungkinan besar memberi kesan kepada aiskrim vanila yang disediakan bersamanya di dalam yang mana ia boleh dikatakan tidak mudah meleleh dan lebih tahan lama walaupun telah terdedah pada suhu bilik.

Dari segi pek pembungkusan pula, Nescafe menggunakan balutan jenis kertas. Hal ini selari dengan misi dan visi mereka ingin memperkasakan kelestarian menjelang 2025 dengan menjadikan 100% pek pembungkusan mereka boleh diguna semula ataupun dikitar semula.

Sekiranya anda ingin mendapatkan dan mencuba Nescafe Gold Cappuccino Ice Cream, ia ditawarkan pada harga hanya RM4.50 sebatang atau anda juga boleh dapatkan dalam bentuk berkas iaitu 10 batang atau 24 batang pada harga RM45 dan RM99.

Setakat ini, lokasi penawarannya masih lagi terhad dan tidak diperluaskan lagi di kebanyakan pasaraya. Namun, anda boleh melakukan pesanan atas-talian sama ada di laman edagang Manisan atau kedai-kedai runcit terpilih di sekitar Lembah Klang.

Komen