Menurut perkongsian dari BBC News baru-baru ini, Sepanyol dilihat hadir dengan perancangan untuk memperkenalkan cuti sakit bagi pekerja wanita yang mengalami sakit haid yang teruk.

Di dalam draf undang-undang yang disediakan, ia mencadangan cuti sebanyak 3 hari akan diberikan kepada pekerja wanita yang mengalami masalah sakit haid yang teruk dan telah mendapat sokongan dari doktor rawatan. Cuti ini turut boleh berlanjutan sehingga lima hari sebulan bagi kes yang lebih rumit atau beberapa keadaan yang lain.

Untuk pengetahuan anda, pada tahun 2016 yang lalu, satu cadangan telah dikemukan oleh empat penggubal undang-undang Itali yang menawarkan sehingga tiga hari cuti haid berbayar setiap bulan. Namun, ia gagal dimajukan di parlimen serta mendapat banyak tentangan daripada sesetengah pihak yang bimbang ia akan menyebabkan majikan lebih keberatan untuk mengupah wanita.

Malah, sebelum ini, sebuah syarikat digital di India iaitu Culture Machine telahpun hadir dengan polisi cuti haid mereka yang tersendiri. Syarikat berkenaan membenarkan pekerja wanita mengambil cuti berbayar semasa tempoh mereka sakit tanpa menggunakan cuti sakit biasa atau cuti tahunan yang sedia ada.

Tidak hanya itu, terdapat beberapa lagi syarikat swasta India yang telah memulakan dasar sedemikian dan mula dikenali di beberapa syarikat persendirian dari negara lain termasuk Jepun, Taiwan, Indonesia, Korea Selatan dan Zambia.

Bagi yang tidak mengetahui juga, idea pemberian cuti haid ini tercetus sejak abad yang lalu di Rusia yang mana apabila wanita yang datang haid, mereka diberikan kebebasan daripada bekerja dalam usaha untuk melindungi kesihatan reproduktif. Ia seterusnya dapat perhatian kesatuan pekerja di Jepun pada akhir 1920-an, akhirnya menjadi termaktub dalam undang-undang negara itu pada tahun 1947.