Min Ahmad Diterbitkan 19 May 2022

Kenapa Sesetengah Bahagian Badan Anda Gelap?

Pernahkah anda mengalami situasi di mana sesetengah bahagian badan anda menjadi lebih gelap berbanding kawasan kulit yang lain? Sebenarnya anda tidak bersendirian kerana secara purata, 9 daripada 10 wanita mengalami masalah ini.

Pigmentasi secara umumnya merupakan isu kosmetik. Ramai yang berasa self-conscious dengan bahagian badan yang gelap. Selain ketiak, beberapa bahagian badan lain seperti belakang leher, celah kelangkang, siku dan lutut merupakan kawasan yang sering terjejas dengan isu pigmentasi. Dalam isu ini, mereka yang berkulit tona medium sehingga gelap lebih cenderung untuk mengalami masalah pigmentasi berbanding mereka yang berkulit cerah.

Warna kulit kita ditentukan oleh kehadiran sel melanosit di bawah permukaan kulit. Melanosit adalah sel yang bertanggungjawab untuk menghasilkan melanin. Di sesetengah bahagian badan, apabila bilangan melanosit bertambah, maka bilangan melanin yang dihasilkan juga akan meningkat. Ini akan mengakibatkan kawasan tersebut menjadi gelap. Selain faktor genetik, faktor umur, berat badan dan kaum memainkan peranan penting dalam penghasilan melanin.

Walaupun begitu, terdapat beberapa faktor lain kenapa kulit-kulit dibahagian sendi dan pelipat badan anda menjadi gelap. Antaranya ialah:

Acanthosis Nigricans

Acanthosis nigricans

Acanthosis nigricans ialah keadaan di mana kulit menebal dan bertukar menjadi gelap. Dalam situasi ini, kulit bukan sahaja menjadi gelap, kawasan yang terjejas juga akan kelihatan seakan-akan ‘baldu’. Antara kawasan yang terjejas ialah ketiak, belakang leher, bawah payudara, siku dan lutut.

Acanthosis Nigricans sering disalahertikan sebagai daki di badan, sedangkan dalam kebanyakan kes, ia sebenarnya merupakan tanda-tanda awal diabetes tahap 2. Kondisi ini selalunya dialami oleh mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Ia juga mungkin tanda-tanda awal penyakit kanser. Dalam situasi ini, anda disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor.

Berat Badan Berlebihan

Berat badan berlebihan menyebabkan badan anda membina rintangan terhadap tindak balas insulin. Insulin adalah hormon yang dihasilkan badan yang membantu anda untuk mengawal selia gula dalam darah. Kehadiran insulin yang tinggi dalam darah akan mengakibatkan peningkatan penghasilan pigmen melanin dalam kulit. Ini sekaligus akan mengakibatkan kulit bertambah gelap, dan tanda-tanda awal kondisi ini ialah penggelapan bahagian leher, ketiak, dan sekitar payudara. Ini sebenarnya merupakan tanda-tanda awal diabetes tahap 2. Oleh yang sedemikian, sekiranya anda mendapati diri anda mempunyai simptom ini, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor dan disarankan untuk mengawal kadar pengambilan gula dalam makanan seharian. Sekiranya anda mengikut saranan doktor dan memperbaiki gaya hidup serta diet pemakanan, keadaan ini boleh bertambah baik dan bahagian badan yang gelap akan mula beransur-ansur cerah.

Masalah Hormon

Isu hormon juga mampu menimbulkan masalah hiperpigmentasi. Ini berlaku apabila sel melanosit menghasilkan bilangan melanin yang banyak akibat dirangsang oleh kadar hormon estrogen dan progesteron yang abnormal dalam badan. Situasi ini dikenali sebagai melasma. Ia kerap berlaku tarhadap wanita yang mengandung atau pun yang mengambil pil perancang kehamilan. Keadaan ini selalunya akan kembali normal setelah melahirkan atau berhenti mengambil pil tersebut. Untuk situasi sebegini, sebaiknya dapatkan pandangan daripada doktor anda.

Selain itu, masalah sindrom ovari polisistik (PCOS), hypothyroidism, atau sindrom Cushing yang boleh mengganggu kadar penghasilan insulin dalam badan di mana ia boleh menyebabkan kulit anda menjadi gelap di sesetengah bahagian badan.

Pengambilan Sesetengah Jenis Ubatan

Terdapat sesetengah jenis ubatan yang mampu menyebabkan kulit anda terutama di bahagian pelipat menjadi gelap. Ubatan ini kebiasaanya merupakan ubatan berasaskan hormon yang mengandungi asid nicotinic, insulin, ekstrak pituitary, corticosteroids & diethylstilbestrol yang mampu menggalakkan penghasilan melanin. Dalam situasi ini, kulit yang menggelap akibat pengambilan ubatan bukanlah situasi serius yang perlu dirisaukan memandangkan ia merupakan kesan sampingan ubatan yang diambil.

Sel-Sel Mati yang Terkumpul

Dalam sesetengah situasi, sesetengah bahagian badan anda mempunyai masalah hiperpigmentasi akibat pengumpulan sel-sel mati. Kawasan pelipat badan yang berlipat-lipat atau sukar dilihat kurang mendapat perhatian apabila anda membersihkkan diri, lantas menyebabkan kulit mati yang terkumpul sukar disingkirkan. Keadaan ini akan menyebabkan kulit yang berdaki bertukar menjadi gelap.

Oleh yang sedemikian, berikan sedikit perhatian kepada bahagian pelipat badan anda apabila anda membersihkan diri. Anda disarankan untuk membuat skrub dengan konsisten, sekitar 2 hingga 3 kali seminggu. Jangan lupa untuk memakai losyen setiap kali selepas anda mandi. Ini membantu untuk membuatkan kulit kelihatan cerah secara beransur-ansur.

Iritasi Kulit

Antara sebab kulit bertukar gelap di bahagian pelipat badan boleh juga berpunca daripada hiperpigmentasi akibat kerengsaan (post-inflammatory hyperpigmentation). Keadaan ini boleh berlaku akibat memakai pakaian yang terlalu ketat di bahagian pelipat, bercukur dan/ atau menggaru dengan kerap.

Memakai pakaian yang terlalu ketat di bahagian ketiak dan celah kelangkang boleh menyebabkan bahagian tersebut bertukar menjadi gelap. Ini terjadi akibat geseran daripada pakaian tersebut dengan kulit. Oleh yang sedemikian, pakailah pakaian yang longgar yang membolehkan kulit anda ‘bernafas’ dan yang boleh mengelakkan ketidakselesaan serta iritasi.

Bercukur dengan kerap juga boleh menyebabkan iritasi kulit di mana kulit anda akan menghasilkan lebih banyak melanin untuk mengelakkan kerengsaan. Sekiranya anda perlu bercukur, elakkan penggunaan sabun yang boleh mengeringkan dan sebaiknya, gunakanlah skrim pencukur. Anda juga boleh menggunakan conditioner sebagai ganti kerana ia bersifat melembabkan.