Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih dari 6000 bandar di 117 negara dilihat masih memaparkan kualiti udara yang tidak sihat. Ini menunjukkan bahawa penduduk di kesemua bandar berkenaan menghidu udara yang mengandungi zarah halus dan nitrogen dioksida yang tinggi.

Bagi yang tidak mengetahui, pada tahun 2019, Malaysia dilihat menduduki tangga yang pertama untuk negara dengan kualiti udara terburuk dunia.

Berdasarkan indeks pencemaran udara (IPU) yang dikeluarkan oleh World Air Quality Index (WAQI), Malaysia mencatat bacaan IPU 266. Ia kemudiannya diikuti oleh Afrika Selatan dengan bacaan IPU 217, Indonesia (207), India (194) dan China (178).

Secara umumnya, penurunan kualiti udara yang dialami dunia adalah berpunca daripada penggunaan dan pembakaran bahan api fosil yang dilakukan secara besar-besaran di kebanyakan negara. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas sewaktu perlaksanaan PKP pada tahun 2020 yang menunjukkan kualiti udara di Malaysia adalah lebih baik dari tahun sebelumnya.

IPU menunjukkan penurunan paras pencemar udara yang disebabkan pengurangan aktiviti pelepasan bahan cemar udara seperti asap kenderaan bermotor, pelepasan asap cerobong industri dan aktiviti pembakaran terbuka.

Mengapa Udara Yang Berkualiti Adalah Penting?

Sekiranya individu menghirup udara yang tercemar untuk tempoh yang panjang dan berlanjutan, ia boleh mendorong kepada kerosakan tubuh.

Sebagai contoh, zarah halus terutamanya PM2.5, mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah. Kesannya, anda boleh mengalami masalah kardiovaskular, serebrovaskular (strok) dan juga pernafasan.

Terdapat bukti lain yang menyatakan bahawa zarah juga berkemungkinan besar memberi kesan kepada organ lain dan menyebabkan penyakit lain juga.

Sementara NO2 dikaitkan dengan penyakit pernafasan, terutamanya asma, yang membawa kepada gejala pernafasan yang kompleks seperti batuk, semput atau kesukaran bernafas.

Bagi mengelakkan isu ini memberi kesan yang lebih buruk kepada rakyat Malaysia, pelbagai inisiatif dan langkah lanjut perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan kesihatan udara. Ia termasuk:

  • menerima pakai atau menyemak standard kualiti udara kebangsaan mengikut Garis Panduan Kualiti Udara WHO terkini
  • memantau kualiti udara dan mengenal pasti punca pencemaran udara
  • menyokong peralihan kepada penggunaan eksklusif tenaga lestari
  • membina sistem pengangkutan awam yang selamat dan berpatutan serta rangkaian mesra pejalan kaki
  • melaksanakan piawaian pelepasan dan kecekapan kenderaan yang lebih ketat serta mula menguatkuasakan pemeriksaan dan penyelenggaraan mandatori untuk kebanyakan kenderaan
  • melabur dalam perumahan cekap tenaga
  • menambah baik pengurusan sisa industri dan perbandaran
  • mengurangkan pembakaran sisa pertanian, kebakaran hutan dan aktiviti agro-perhutanan tertentu

Selain usaha dari badan-badan kerajaan dan pihak berkuasa, individu juga perlu memainkan peranan yang penting dalam mengembalikan dan memulihkan semula udara untuk kegunaan masa hadapan.