Bagi anda yang kerap berjalan dan berdiri untuk tempoh yang lama, sudah tentu sakit tapak kaki seperti sudah biasa dialami. Ia bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan untuk melakukan kerja, malah turut menyebabkan aktiviti harian anda juga terganggu.
Untuk pengetahuan anda, keadaan atau sakit yang paling biasa pada tapak kaki adalah keadaan yang dikenali sebagai plantar fascitis. Keadaan ini berlaku kerana kecederaan mikro dan keradangan pada tisu tapak kaki. Keradangan tisu menyebabkan sakit, bengkak dan lebam.

Menurut Exakt Health, beban yang berlebihan dan kehadiran daya yang tinggi pada kaki adalah punca berlakunya plantar fascia. Antara aktiviti yang boleh meningkatkan daya dan sekaligus memburukkan keadaan kaki termasuklah:
- Berlari, berjalan atau berdiri dengan banyak menggunakan kasut yang tidak mempunyai sokongan yang kukuh
- Meningkatkan jumlah berlari atau berjalan terlalu mendadak
- Membawa dan memikul objek yang terlalu berat
- Berat badan bertambah
Jadinya, untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan pada tapak kaki ini, anda boleh mencuba teknik urutan menggunakan bola getah kecil yang dikenali sebagai bola lacrosse.

Apa Itu Bola Lacrosse? Bagaimana Ia Berfungsi?
Urutan bola lacrosse ialah satu bentuk pelepasan myofascial secara kendiri. Tidak seperti bola tenis, bola lacrosse adalah keras dan padat. Mereka tidak melembut di bawah tekanan yang menjadikannya antara alat urutan berkuasa yang boleh membantu melegakan kesakitan dan meningkatkan fungsi dalam otot yang sakit.
Untuk pengetahuan anda, bagi setiap kaki, ia mempunyai kira-kira 20 otot berbeza yang membantu individu mengawal pergerakan, memberikan kestabilan dan membentuk visual kaki. Oleh itu, dengan menggunakan alat seperti bola lacrosse, ia membantu individu mengenalpasti trigger point untuk sesuatu kesakitan.

Penggunaan bola lacrosse sering digambarkan seperti regangan yang menyakitkan pada awalnya. Hal ini kerana, ia menggunakan tekanan pada bola untuk meredakan ketegangan. Apa yang berlaku ialah otot sudah berada di dalam keadaan yang sedia sakit. Jadinya, dengan menambah tekanan, ia akan menjadikan otok akan lebih kuat berjuang, yang akhirnya akan menyebabkan kesakitan akan beransur-ansur hilang. Ini boleh mengambil masa dari beberapa saat hingga sehingga 2 minit.
Cara Lakukan Senaman Menggunakan Bola Lacrosse
Berikut adalah cara-cara menggunakan bola lacrosse untuk melegakan kesakitan tapak kaki:
- Duduk dengan selesa dengan kaki anda di atas lantai.
- Letakkan bola lacrosse di bawah gerbang kaki anda.
- Condongkan badan ke hadapan dan kemudian letakkan berat pada bahagian yang terjejas.
- Perlahan-lahan gulingkan bola ke depan dan ke belakang di sepanjang gerbang kaki anda.
- Teruskan selama 30 hingga 60 saat.
- Ulang di sisi lain jika perlu.
Sumber: Healthline Inertia Physio