Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran yang mana negara Malaysia kini akan mengalami fenomena peningkatan suhu mendadak yang dijangka berterusan sehingga pertengahan September 2022. 

Tambah mereka lagi, kesan daripada peningkatan suhu ini, negara turut dijangka akan menerima taburan hujan yang agak rendah disebabkan oleh kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh itu. Oleh itu, rata-rata lokasi akan mengalami cuaca panas bermula tengah hari hingga lewat malam.

Apabila bercerita mengenai perubahan iklim, ramai dalam kalangan individu mengatakan bahawa cuaca yang melampau telah memberi impak kepada aktiviti harian mereka. Namun, tahukah anda bahawa kesan perubahan iklim ini sebenarnya memberi kesan yang tidak seimbang kepada dua golongan iaitu wanita dan warga tua jika dibandingkan dengan golongan lelaki?

Cuaca yang melampau ini termasuklah gelombang haba, kemarau, kenaikan paras laut dan ribut yang dahsyat.

Mengapa Perubahan Iklim Memberi Impak Lebih Kepada Wanita Berbanding Lelaki?

Untuk pengetahuan anda, sebab utama mengapa lelaki dan wanita mengalami kesan yang berbeza ke atas perubahan suhu adalah berkaitan dengan toleransi haba.

Menurut Prof Paul Thornalley, dari Warwick Medical School, beliau menjelaskan bahawa wanita mengeluarkan purata kadar metabolisma dan pengeluaran haba yang lebih rendah. Ini sekaligus menjadikan kedua-dua jantina ini memerlukan suhu yang berbeza untuk menjamin keselesaan harian.

Tambahan lagi, terlalu banyak pendedahan kepada matahari juga boleh menyebabkan perubahan dalam turun dan naik hormon. Hal ini mungkin berpunca daripada badan yang mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan suhu. Kesan daripadanya, pelbagai gejala yang membimbangkan akan tercetus. Antaranya keletihan, tekanan, jerawat, dan juga ketidakselesaan yang sering dilihat sewaktu tempoh haid.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan juga, terdapat faktor lain yang turut memainkan peranan ke atas impak perubahan iklim iaitu saiz badan.

Perbezaan saiz badan dianggap mempengaruhi peluh dan aliran darah kulit semasa tekanan haba. Kajian mendapati bahawa tindak balas kehilangan haba ini turut bergantung kepada cara badan mengawal suhunya. Ia turut mengesahkan bahawa terdapat bukti yang jelas telah dinilai di dalam sampel pelbagai morfologi iaitu saiz badan yang mana vasodilatasi kulit dan pengaktifan peluh adalah lebih banyak pada individu dengan purata suhu badan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan individu yang lebih kecil.

Tips Untuk Tubuh Kekal Berada Di Dalam Keadaan Terbaik Sepanjang Musim Panas

Berikut ialah beberapa petua untuk menghadapi cuaca panas.:

  • Terus terhidrat. Pastikan anda minum secara teratur sepanjang hari, dan sentiasa membawa air bersama anda jika anda keluar.
  • Amalkan pemakanan yang sejuk seperti salad dan buah-buahan yang mempunyai kandungan air yang tinggi. Dengan konsumsi makanan seperti ini, ia akan membantu anda mengekalkan kelembapan, serta mendapatkan lebih banyak nutrien yang sihat.
  • Elakkan bersenam atau melakukan terlalu banyak kerana ia akan meningkatkan suhu badan.
  • Elakkan keluar di bawah sinar matahari atau berada di luar pada waktu yang paling panas iaitu antara 11 pagi dan 3 petang.
  • Buka tingkap dan pastikan langsir ditutup jika tingkap berada di bawah cahaya matahari langsung.
  • Pakai fabrik ringan, kasut terbuka atau sandal dan topi untuk melindungi anda daripada matahari. Anda disarankan untuk tidak memakai pakaian yang ketat dan elakkan warna gelap.

Sumber: BBC NCBI Medical News Today