Bahasa kucing terdiri daripada postur badan, isyarat bau dan penyuaraan yang mana kadangkala untuk menyampaikan sesuatu mesej, kucing akan menggabungkannya salah satu daripadanya untuk membentuk komunikasi.

Tidak seperti manusia, kucing sangat peka dengan bau dan kita seringkali terlepas pandang dalam memahami akan isyarat ini. Oleh itu, untuk mengetahui lebih lanjut tentang bahasa kucing, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda cara mengetahui apa yang kucing anda cuba katakan dengan lebih mudah.

Secara umumnya, terdapat empat kategori utama ‘meow’ dalam kalangan kucing iaitu:

  • Mengeong atau Meowing
  • Bergetar seakan berdengkur atau Purring
  • Mendesis atau Hissing
  • Mengeram atau Growling

Apa yang dimaksudkan dengan mengeong?

Semua orang biasa dengan bunyi ‘meow~’ atau mengeong. Ia merupakan bunyi yang dikeluarkan ketika anak kucing ingin berkomunikasi dengan ibunya ataupun sewaktu mereka ingin bercakap dengan manusia.

Kebiasaannya, ketika kucing mengeong, anda akan perasan yang mana bunyinya dikeluarkan dengan nada yang pertengahan rendah dan sedikit panjang. Apabila kucing mengeong sedemikian, ia bermaksud mereka menginginkan sesuatu sama ada makanan, air dan sebagainya.

Sementara jika bunyi mengeong lebih pendek dan bernada tinggi, ia menandakan bahawa kucing tersebut ingin menyapa anda atau menyambut kehadiran anda dengan berkata ‘hello’.

Akhir sekali, mengeong yang berulang kali pula mungkin menunjukkan bahawa kucing anda sedang teruja, manakala mengeong dengan nada tinggi boleh bermakna kucing anda terkejut atau sakit.

Apa maksud bunyi yang bergetar seakan berdengkur?

Purring pula adalah bunyi kucing yang paling kerap didengari yang mana ia menandakan bahawa mereka sedang gembira dan menginginkan belaian daripada tuan mereka.

Bagaimana getaran tersebut berbunyi? Untuk pengetahuan anda, bunyi tersebut kedengaran seakan bunyi dengungan, bunyi gemuruh yang lembut yang dikeluarkan dari dalam dan tekak.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan yang jarang berlaku, bunyi bergetar adalah disebabkan oleh pergolakan atau kebimbangan. Jika telinga dan badan kucing kelihatan tegang, getaran tersebut mungkin menandakan haiwan kesayangan anda tidak berpuas hati atau berasa gugup apabila melawat doktor haiwan mereka.

Apa yang dimaksudkan dengan berdesis?

Desis biasanya menunjukkan bahawa kucing anda berasa terancam, marah atau kesakitan. Kucing biasanya mendesis kepada haiwan lain.

Bersama-sama dengan bunyi itu, terdapat postur yang agresif dan bertahan, termasuk punggung yang melengkung, bulu yang mengembang serta telinga yang rata dan mulut yang terbuka menampakkan gigi. Ada kalanya, kucing meludah bersama dengan desisan.

Walau bagaimanapun, jika desisan itu tidak diprovokasi, ini mungkin tanda bahawa haiwan kesayangan anda mengalami kesakitan dengan keadaan yang tidak didiagnosis.

Mengapa kucing mengeluarkan bunyi seakan menggeram?

Bunyi mengeram atau growling ialah bunyi yang agresif, selalunya mengiringi desisan dan dipamerkan untuk menunjukkan kemarahan atau ancaman wilayah.

Kucing yang mengeram akan memaparkan postur badan pertahanan klasik. Ia adalah amaran yang jelas untuk berundur dan boleh ditujukan kepada manusia serta haiwan lain. Dalam sesetengah kes, kucing yang kesakitan mungkin juga akan mengeram.

Namun harus diingatkan bahawa setiap kucing cenderung hadir dengan bunyi yang berbeza. Oleh itu, anda perlu memerhatikan dan menyelami respons mereka terhadap mesej yang anda sampaikan. Pemerhatian yang dilakukan secara kerap boleh membantu anda memahami keperluan kucing dengan lebih baik selain menjadikan hubungan antara kucing juga lebih rapat.

Jadi, sudahkah anda mengenali bunyi yang dikeluarkan oleh kucing anda?