Starbucks oleh Nespresso mempersembahkan kapsul baharu yang dibuat dengan 80% aluminium kitar semula.

Menurut Starbucks, kapsul yang digunakan kali ini hadir dengan penghalang yang luar biasa kepada oksigen, cahaya dan kelembapan. Tambahnya, dengan binaan baharu ini juga, ia bukan sahaja mampu menjamin kesegaran dan aroma kopi berkualiti tinggi, tetapi ia juga boleh dikitar semula dengan lebih mudah.

Anda hanya perlu mengunjungi laman web Nespresso Malaysia dan pergi ke bahagian Sustainability dan pilih ‘Where To Recycle Coffee Capsules?‘. Selepas itu, anda boleh mengetahui lokasi kitar semula atau tempat pengumpulan yang berdekatan dengan anda.

Sebelum ini, Starbucks pada tahun 2013 telah sedia melaksanakan beberapa tindakan yang bertujuan untuk menjamin masa depan yang lebih lestari untuk industri kopi melalui pembelian ladang kopi di Costa Rica.

Selain daripada itu juga, Starbucks dilihat telah mengurangkan pelepasan karbon dalam rantaian bekalan Starbucks dengan melengkapkan petani dengan alat agronomi yang lebih moden. Melalui Pusat Sokongan Peladang Starbucks, mereka telah dilengkapi dengan aplikasi mudah alih pengimbasan tanah baharu yang membantu petani memahami nutrien dan baja khusus yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti ladang.

Dengan penyelesaian tersuai, petani kini boleh menyasarkan dan mengurangkan penggunaan baja sekaligus membantu mengurangkan pelepasan karbon di ladang mereka dan meningkatkan produktiviti ladang.