Carian
61% Kes HFMD Bermula Dari Taska, Tadika & Prasekolah
May 27, 2022 Lina Rosli

HFMD atau juga dikenali sebagai Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut adalah penyakit yang disebabkan oleh enterovirus iaitu Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71).

Untuk pengetahuan anda, virus jenis enterovirus merupakan sekumpulan virus RNA deria satu untai yang biasanya menyebabkan jangkitan, terutamanya pada bayi dan kanak-kanak. Sehingga kini, 90% kes HFMD berlaku pada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah.

Ia boleh merebak dalam beberapa kaedah termasuk:

  • sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak
  • sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD

HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat yang disusuli dengan kurang selera makan. Dalam sehari atau dua, luka (ulser) di mulut akan timbul. Sebilangan kanak-kanak mungkin mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang berkemungkinan menjadi lepuh.

Ruam ini juga boleh terjadi pada lutut, siku dan bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan.

Berdasarkan perkongsian dari Tan Sri Dr Noor Hisyam iaitu Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 3 lokasi utama penularan wabak HFMD berlaku iaitu:

  • Taska, tadika dan prasekolah
  • Rumah persendirian
  • Pusat jagaan kanak-kanak

Data juga memperlihatkan yang mana 61% kes HFMD yang berlaku di Malaysia adalah bermula dari tempat persekolahan kanak-kanak iaitu taska, tadika dan prasekolah.

Penularan di kawasan tersebut berkemungkinan besar disebabkan oleh aktiviti dan kontak yang rapat antara kanak-kanak ketika berada di tempat persekolahan sama ada sewaktu bermain, menikmati hidangan dan lain-lain.

Tambah Tan Sri Dr Noor Hisyam lagi, ibu bapa harus lebih berhati-hati dan digalakkan untuk membawa kanak-kanak ke kawasan atau tempat tumpuan awam yang sesak seperti di pasaraya dan taman permainan awam. Hal ini kerana, sehingga kini, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah penyakit HFMD.

Oleh itu, orang awam perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  1. Kerap cuci tangan terutamanya selepas menyentuh pesakit HFMD atau barangan yang digunakan pesakit.
  2. Elakkan sentuhan langsung dengan pesakit.
  3. Elakkan dari berkongsi peralatan makanan dan barangan peribadi dengan pesakit HFMD.
  4. Jangan menyentuh bahagian tubuh seperti mata, hidung dan mulut selepas menyentuh pesakit HFMD.
  5. Pastikan kebersihan persekitaran rumah atau tempat kerja dengan mencuci atau menyahkuman permukaan lantai dan tandas.
Komen