Satu kajian baru-baru ini mendedahkan yang mana individu di seluruh dunia berkemungkinan besar akan kehilangan 50 hingga 58 jam tidur setahun menjelang 2099 disebabkan oleh krisis dan perubahan iklim.
Menurut Universiti Australia Selatan di Adelaide, terdapat peningkatan dari segi peratusan individu yang mengalami masalah kurang tidur atau waktu tidur kurang daripada tujuh jam tidur sebanyak 3.5% jika suhu minimum di luar waktu malam melebihi 25 darjah Celsius.

Kesan daripada masalah ini, orang dewasa yang tidak menerima jumlah tidur yang disyorkan dilihat akan menghadapi masalah dengan tumpuan serta boleh turut mengalami peningkatan risiko beberapa kebimbangan kesihatan seperti penyakit kardiovaskular dan gastrousus.
Dalm kajian yang dilakukan Kelton Minor di Pusat Sains Data Sosial Copenhagen di Universiti Copenhage pula, bagi setiap malam yang menampilkan suhu sekitar 30 darjah Celsius, ia dijangka akan mengurangkan masa tidur kira-kira seperempat jam setiap orang.

Bukan itu sahaja, antara kumpulan yang terjejas teruk disebabkan oleh perubahan iklim adalah orang tua yang mana mereka akan kehilangan dua kali ganda jumlah tidur setiap darjah pemanasan berbanding dengan orang dewasa muda atau pertengahan umur.
Selain itu, individu yang duduk di kawasan berpendapatan rendah turut lebih terjejas dengan keselesaan tidur berbanding kawasan berpendapatan tinggi.

Memandangkan suhu terus meningkat akibat pemanasan global, setiap individu digalakkan untuk mengekalkan kehidratan diri dengan mendapatkan jumlah air yang mencukupi dan teratur sepanjang hari, dan sentiasa membawa air bersama anda jika anda keluar.
Selain itu, pastikan anda buka tingkap dan menyediakan pengudaraan yang baik di dalam bilik supaya suhu di dalamnya adalah lebih rendah. Anda juga disarankan untuk memakai fabrik ringan selain tidak memakai pakaian yang ketat sewaktu tidur.