Sebelum ini, Les’ Copaque dilihat merancang untuk membuka taman tema mereka yang tersendiri dan telahpun meninjau beberapa lokasi yang berpotensi untuk menampung keperluan mereka di sekitar Malaysia.
Dan nampaknya rancangan tersebut berjaya untuk direalisasikan kerana berdasarkan perkongsian di Facebook rasmi Les’ Copaque Production, mereka telah menandatangani MOU bersama Cyberview Sdn Bhd bagi membangunkan Taman Tema Upin & Ipin di Cyberjaya.

Menurut Les’ Copaque, idea di sebalik perancangan ini adalah untuk merapatkan jurang antara industri animasi dan peminat melalui pengalaman yang menyeronokkan di dalam satu tempat yang luas.
Oleh sebab itu, mereka melihat Cyberjaya sebagai satu tempat yang berpotensi untuk membangunkan taman tema seluas 30 ekar dan dijangkakan dapat menarik peminat bukan sahaja dari Malaysia, malahan dari luar negara.
Tambah Les’ Copaque lagi, antara tarikan yang bakal hadir di Taman Tema Upin & Ipin termasuklah lawatan ke ‘Rumah Opah’ di studio interaktif Les’ Copaque, taman interaktif Upin & Ipin dan taman keseronokan luar yang bakal menampilkan ikon dan karakter eksklusif mereka seperti Upin & Ipin, Puteri, DaDuDiDo dan banyak lagi.
Bagi anda yang tidak sabar untuk menerokai taman tema istimewa ini, ia dijangka boleh mula dikunjungi menjelang 2024 dan akan menarik minat kira-kira 2 juta kunjungan setiap tahun daripada peminat tempatan dan antarabangsa.