Di Semenanjung Malaysia, kira-kira 60 peratus restoran Texas Chicken dibuka di kawasan sekitar Lembah Klang dan separuh daripadanya terletak di dalam pusat membeli-belah utama di seluruh negara.

Oleh itu, bagi memperluaskan dan mengembangkan lagi akses mereka di beberapa negeri yang lain, syarikat itu dijangka akan melaburkan sekurang-kurangnya RM230 juta bagi membuka 115 restoran Texas Chicken baharu menjelang 2030, termasuk penyertaan sulungnya ke dalam pasaran Sabah dan Sarawak. 

Tidak hanya itu juga, Texas Chicken turut merancang membina dan menambahbaik ciri restoran pandu lalu selain bakal mengembangkan perkhidmatan penghantarannya sebagai usaha untuk memberikan lebih banyak lagi kemudahan kepada para pengguna.

Menurut Texas Chicken lagi, pembukaan restoran baharu dan prospek pertumbuhan yang mantap dijangka akan mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan meningkatkan jumlah kakitangan syarikat itu kepada anggaran 6,000 pekerja menjelang 2030.

Untuk pengetahuan anda, Texas Chicken di Malaysia telah dikendalikan ole Envictus International Holdings Limited sejak tahun 2013. Ia merupakan sebuah kumpulan makanan dan minuman (F&B) dan pada Mei 2022, mereka telah memperbaharui Perjanjian Francais Berbilang Unit Antarabangsanya bersama Cajun Global LLC yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi membangunkan dan mengendalikan restoran Texas Chicken di Malaysia dan Brunei.

Setakat ini, Envictus telah memiliki dan mengendalikan 85 restoran di seluruh Semenanjung Malaysia, melepasi komitmen awalnya untuk membuka 80 restoran dalam tempoh 10 tahun pertamanya.