Min Ahmad Diterbitkan 3 June 2022

Perlukah Gigi Geraham Bongsu Anda Dicabut?

Gigi manusia tumbuh secara berperingkat. Selepas anda hilang gigi susu anda, ia akan digantikan dengan set gigi kekal. Dalam set gigi kekal, terdapat 2 set gigi geraham besar (atau 4 batang gigi geraham) yang akan tumbuh di penghujung rahang atas dan bawah.

Menjelang usia anda 17-30 tahun, satu set gigi geraham bongsu, yang turut dikenali sebagai geraham ketiga akan mula muncul. Untuk sesetengah orang, ia hanya mendatangkan ketidakselesaan di saat gigi itu mula muncul dan akan hilang setelah gigi selesai bertumbuh. Tidak kurang juga mengalami ketidakselesaan dan kesakitan yang berpanjangan akibat situasi ini.

Berbeza dengan gigi lain yang terbentuk sejak kita dalam kandungan lagi, gigi geraham bongsu hanya mula terbentuk di dalam rahang seawal kita berusia 7 tahun, apabila set gigi kekal mula keluar satu per satu. Dipercayai ia wujud sebagai salah satu evolusi di mana ia dapat menggantikan gigi geraham besar yang haus akibat sering digunakan untuk mengunyah makanan yang keras. Namun begitu, dengan perubahan zaman, makanan masakini lebih lembut dan gigi pula lebih terjaga. Maka tiada lagi kepentingan gigi geraham bongsu untuk menggantikan gigi geraham besar yang sedia ada. Bukan itu sahaja, kajian membuktikan bahawa rahang manusia moden lebih kecil berbanding rahang manusia prasejarah. Oleh yang sedemikian, gigi geraham bongsu tidak mempunyai ruang yang cukup untuk bertumbuh dengan sempurna.

Bagi mereka yang mengalami ketidakselesaan dan kesakitan berpanjangan akibat pertumbuhan gigi gerahama bongsu, situasi ini berpunca akibat pertumbuhan gigi yang tidak betul. Ada yang tumbuh separuh bahkan ada yang kekal tertanam di dalam tisu gusi. Situasi di mana gigi geraham bongsu yang tidak tumbuh dan masih ditutupi oleh tisu atau tulang ini disebut ‘terhimpit.’

Bilakah Gigi Geraham Anda Boleh Dicabut?

Anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor gigi dan mendapatkan nasihat berkenaan keperluan untuk mencabut gigi geraham bongsu anda sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut:

  • Kerosakan kepada gigi yang lain – Pertumbuhan gigi geraham bongsu yang tidak sempurna boleh menolak gigi yang lain. Ini boleh mengakibatkan kesakitan berpanjangan dan mendatangkan masalah untuk mengunyah.
  • Kesakitan tulang rahang – Situasi ini selalunya berpunca akibat pembentuka sista di sekitar gigi geraham bongsu boleh memberikan tekanan kepada rahang yang lantas menyebabkan kesakitan berpanjangan.
  • Masalah sinus – Pertumbuhan gigi geraham bongsu juga boleh menyebabkan kesakitan di kawasan sinus, tekanan atau menyebabkan sinus terasa seakan ‘tersumbat’.
  • Gusi membengkak – Apabila gusi membengkak, ia akan menyebabkan gigi disekitarnya sukar untuk dibersihkan dengan sempurna. Ini dapat menimbulkan masalah lain seperti kerosakan gigi, gig mereput, mulut berbau atau jangkitan gusi yang lebih serius
  • Pembentukan kaviti – Gusi yang membengkak boleh menyebabkan kewujudan ‘poket’ di antara gigi dan gusi yang menjadi tempat pembiakan bakteria dan oembentukan kaviti.

Dalam kebanyakan situasi, masalah yang timbul akibat pertumbuhan gigi geraham bongsu akan berakhir apabila gigi tersebut dicabut. Doktor gigi menyarankan agar ia dicabut ketika pesakit berusia akhir remaja atau awal 20-an. Ini adalah kerana ketika diawal pertumbuhan gigi tersebut, akarnya tidak melekap dengan utuh pada tulang rahang yang menjadikannya mudah dicabut berbanding mereka yang lebih berusia. Mencabut gigi geraham bongsu ketika anda lebih berusia turut meningkatkan risiko kerosakan saraf alveolar inferior yang merupakan saraf utama di bahagian rahang. Malahan pesakit muda juga kebiasannya pulih dengan lebih cepat selepas mendapatkan rawatan.