Bagi anda yang gemarkan gubahan bunga segar untuk menghiasi ruangan rumah anda, semestinya melihat bunga yang baru dibeli bertukar menjadi layu adalah sesuatu yang mengecewakan. Namun terdapat cara untuk memastikan jambangan bunga segar anda mampu bertahan lama dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati dalam rumah.

1. Cuka Makan

Cuka adalah bahan yang kerap digunakan untuk membolehkan jambangan bunga kekal segar. Gunakan campuran 3 camca teh gula dan 2 camca teh cuka makan yang dilarutkan dalam larutan air suam bagi sukatan 1 liter air. Pastikan batang bunga terendam sedalam 7cm hingga 10cm (sekitar 3 hingga 4 inci) air di dalam pasu bunga. Gula memberikan zat kepada bunga agar mampu bertahan lama manakala cuka mampu mengelakkan pembiakan bakteria dalam air.

2. Cuka sider epal

Cuka sider epal bersifat asid seperti cuka dan boleh digunakan sebagai galang ganti cuka dalam pelbagai perkara. Sekiranya anda tidak mempunyai cuka, gunakan 2 camca teh cuka sider epal dan 2 camca teh gula bagi setiap 1 liter air yang digunakan untuk jambangan bunga segar anda. Untuk hasil yang terbaik, tukar air setiap 2 hingga 3 hari sekali.

3. Minuman Bersoda

Tahukah anda bahawa anda boleh menggunakan minuman bersoda untuk memastikan keratan bunga segara anda bertahan lama? Ia boleh dilakukan dengan semudah mencampurkan 1/4 cawan soda ke dalam 1 liter air. Gula dalam minuman soda membolehkan jambangan bunga mampu bertahan lama. Sekiranya anda menggunakan pasu kaca yang telus, gunakanlah Sprite atau 7-Up agar air kelihatan jernih.

4. Cecair Peluntur

Seperti cuka, cecair peluntur juga mampu mengelakkan pembiakan bakteria dalam air. Ini sekaligus mengelakkan air bertukar menjadi keruh dengan cepat dan lantas memanjangkan hayat bunga. Sukatan yang digunakan ialah 3 titis cecair peluntur dan 1 camca teh gula bagi sukatan 1 liter air.

5. Spray Rambut

Seperti mana spray rambut mampu membuatkan gayaan rambut anda bertahan lama, ia juga mampu memanjangkan hayat jambangan bunga segar anda. Terbalikkan jambangan bunga anda, berdiri satu kaki jauh dan semburkan spray rambut anda ke bahagian bawah daun dan kelopak bungaan. Anda kemudian boleh merendamkan jambangan bunga segar tersebut dalam larutan air seperti yang dicadangkan seperti di atas untuk memastikan ia mampu bertahan lama.

Selamat mencuba!