Bahasa cinta atau love language ialah cara seseorang menunjukkan kepada pasangannya bagaimana untuk menunjukkan rasa sayang dengan cara yang paling sesuai dan memenuhi kehendak serta keperluan.
Terdapat 5 jenis bahasa cinta berdasarkan Gary Chapman, Ph.D yang merupakan pengarang buku The Five Love Languages:
1. Words of Affirmation
Word of affirmation ialah cara mempamerkan rasa cinta dengan kata-kata yang melahirkan rasa sayang, penghargaan dan mengambil berat. Mereka yang mempunyai bahasa cinta jenis ini berasa selesa untuk memeluahkan rasa sayang dengan kata-kata. Mereka juga suka menerima/ memberi pujian, mendengar pasangan menyebut kelebihan yang ada pada diri mereka dan mengucapkan perkataan “saya cintakan awak’ dalam pelbagai variasi yang romantis. Bagi mereka, kata-kata penghargaan buat pasangan dan rasa sayang perlu dizahirkan setiap masa, bukan hanya untuk hari atau peristiwa tertentu sahaja.
2. Sentuhan Fizikal
Sentuhan fizikal melibatkan kontak fizikal antara pasangan seperti berpegangan tangan, berciuman dan/ atau berpelukan. Mereka yang mempunyai bahasa cinta dengan sentuhan fizikal suka bermanja dengan ahli keluarga, dibelai oleh pasangan dan tidak berasa kekok untuk menunjukkan kasih sayang secara terbuka. Kontak fizikal bagi mereka adalah penting dan sesuatu hubungan akan terasa hambar tanpa kemesraan.
3. Meluangkan Masa Berkualiti Bersama
Mereka yang mempunyai bahasa cinta ini gemar meluangkan masa bersama-sama pasangan dan ahli keluarga. Mereka lebih suka untuk melakukan aktiviti atau menghabiskan masa bersama-sama, baik di dalam atau luar rumah. Maka tidak hairanlah sekiranya anda jarang mendapati mereka keseorangan kerana mereka tidak gemar bersendiri. Daripada Netflix & chill hinggalah percutian, mereka suka ditemani ahli keluarga, rakan-rakan atau pasangan adalah kerana bagi mereka, kebersamaan melambangkan rasa sayang. Untuk mereka yang berpasangan, istilah bagaikan belangkas mungkin sesuai untuk menggambarkan bahasa percintaan mereka.
4. Memberi Hadiah
Pemberian hadiah bagi mereka yang mempunyai bahasa cinta ini adalah sesuatu yang sangat bermakna dan peribadi. Mereka tidak menunggu hari jadi atau ulangtahun untuk memberikan sesuatu kepada orang yang mereka sayang. Mungkin berkata-kata atau perbuatan bukanlah kekuatan mereka, maka mereka meluangkan masa untuk menyediakan sesuatu yang yang disukai oleh insan yang mereka sayang. Ia tidak semestinya barang-barang berharga atau mahal. Ia mungkin sesuatu yang mereka hasilkan dengan ingatan yang tulus dan ikhlas seperti kad atau kraf buatan sendiri. Mereka juga menghargai pemberian yang bersifat peribadi yang diberikan oleh orang lain kepada mereka.
5. Perlakuan
Bagi mereka yang mempunyai bahasa cinta ini, cara terbaik untuk menunjukkan rasa sayang ialah dengan menzahirkannya dengan perbuatan. Cara mereka menunjukkannya adalah seperti menolong ahli keluarga/ pasangan untuk membuat kerja rumah, menyediakan sarapan pagi atau menjaga insan yang mereka sayang apabila sakit. Bagi mereka, rasa sayang ialah dengan menjalankan tanggungjawab dan melakukan sesuatu yang boleh meringankan beban kepada pasangan/ ahli keluarga mereka tanpa berkira ataupun dipinta.
Ketahui bahasa percintaan anda di sini.