FamilyMart merupakan rangkaian kedai serbaneka yang popular di kebanyakan negara di Asia. Tidak hanya di Jepun dan Malaysia, FamilyMart turut boleh didapati di Taiwan, China, Filipina, Thailand, Vietnam dan Indonesia yang kini mempunyai sekitar 24,243 kedai di seluruh dunia.

Baru-baru ini, FamilyMart telah mengumumkan yang mana mereka telah menutup sebuah rangkaian FamilyMart di Jepun disebabkan oleh kedai tersebut tidak berupaya menampung mana-mana pelanggan disebabkan kapasiti kedai yang terlalu kecil dan sempit.

Untuk pengetahuan anda, FamilyMart ini sebenarnya terletak di Platform 1, Stesen Tsuruhashi di Osaka yang mana ia kelihatan seperti kiosk makanan sebesar 16 kaki yang tiada pintu gelangsar.

Tambah FamilyMart, idea awal pembukaan rangkaian FamilyMart ini sebenarnya bertujuan untuk memperkenalkan “kedai serbaneka mikro” dan menawarkan servis yang mudah dan pantas untuk individu yang pergi dan pulang dari tempat kerja lebih-lebih lagi pekerja kilang dan hospital yang berdekatan.

Sumber: Soranews24