Pada April 2022 yang lepas, Touch ‘n Go telah memperkenalkan kad baharu yang dinamakan sebagai Enchanced Touch ’n Go Card.

Untuk pengetahuan anda, kad baharu ini hadir dengan integrasi sokongan NFC yang mana ia membolehkan anda untuk melakukan tambah-nilai dengan hanya menggunakan telefon. Caranya, anda boleh lakukan pemilihan nilai kredit yang ingin ditambah dan kemudian, syentuh kad baharu ini pada bahagian NFC telefon.

Sebelum ini, pembelian kad baharu Enchanced Touch ’n Go ini boleh dilakukan menerusi aplikasi TNG eWallet. Namun, disebabkan permintaan yang tinggi, jualannya telah dihentikan dan mula ditawarkan terhad di beberapa tempat sahaja.

Untuk mendapatkannya, Touch ‘n Go kini menyatakan bahawa mereka bakal menampilkan promosi khas pembelian kad dan juga tag RFID di Federal Auto Volvo & Volkswagen Showroom yang terletak di Glenmarie bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang pada 11 dan 12 Jun 2022.

Bukan itu sahaja, sekiranya anda mempunyai kad Touch ‘n Go yang lama atau telah luput tarikh, jenama ini juga turut menggalakkan orang ramai untuk menghantar semula kad tersebut kepada mereka untuk dilupuskan secara lestari.

Jadi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan tawaran istimewa ini dan nikmati pengalaman tambah-nilai TNG secara nirtunai.