Carian
Balenciaga, Hermès Perkenal Beg Tangan Yang Diperbuat Daripada Kulit Miselium
June 13, 2022 Lina Rosli

Balenciaga dan Hermès memperkenalkan beg tangan, kasut dan kot yang diperbuat daripada kulit miselium yang ditawarkan oleh syarikat seperti Bolt Threads dan MycoWorks.

Apa itu kulit miselium?

Bagi yang tidak mengetahui, kulit miselium merupakan alternatif kepada kulit haiwan dan dicipta daripada akar cendawan.

Miselium adalah sebahagian daripada kulat dan merupakan rangkaian benang yang dipanggil hifa yang membantu menumbuhkan cendawan. Hifa akan menampilkan rangkaian struktur seperti web yang membentuk miselium dan kemudiannya merembeskan enzim untuk memecahkan sumber makanan untuk digunakan oleh organisma.

Penggunaan fabrik miselium dalam fesyen secara umumnya adalah disebabkan oleh faktor kelestarian selain memupuk pengeluaran produk yang tidak melibatkan kekejaman ke atas haiwan dan alam sekitar. Bukan sekadar itu, individu hari ini juga mula celik akan penggunaan sesuatu bahan dan fabrik dalam produk mereka.

Oleh sebab itu, industri fesyen kini mula beralih kepada bahan dan fabrik yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada kulit tradisional.

Penglibatan Jenama Mewah Dalam Menampilkan Produk Yang Menggunakan Kulit Bukan Haiwan

Bergerak ke hadapan, penggunaan bahan dan fabrik bukan kulit haiwan dijangka akan mendapat sambutan dalam kalangan pemain industri lebih-lebih lagi syarikat induk kebanyakan jenama mewah termasuk Adidas, Stella McCartney, Lululemon dan Kering yang memiliki syarikat seperti Saint Laurent, Gucci dan Balenciaga.

Untuk pengetahuan anda, pada Oktober 2021 yang lepas, kesemua syarikat jenama mewah ini telah mengumumkan bahawa mereka bekerjasama untuk membentuk konsortium Mylo bersama firma penyelesaian bahan Silicon Valley iaitu Bolt Threads.

Manakala pada Mac 2022 pula, Hermès dilihat mula melancarkan koleksi produk yang diperbuat daripada kulit miselium yang merupakan kolaborasi bersama MycoWorks.

Tidak seperti produk yang diperbuat daripada kulit haiwan atau bahan pembuatan yang lain, kulit miselium dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia berbahaya dalam pemprosesannya supaya mereka akhirnya mempunyai kesan yang kurang berbahaya kepada ekosistem. Malah, dalam keadaan lain, alternatif sedemikian dilaporkan dapat meningkatkan kualiti tanah selain menggunakan kapasiti air yang rendah.

Walau bagaimanapun, kekurangan untuk produk ini adalah lebih menjurus kepada kos yang mana ia dijangka akan ditawarkan pada harga yang sangat mahal dan dalam kuantiti yang terhad.

Sumber: Wallpaper

Komen