Selepas pengenalan produk kulit yang dihasilkan daripada kulit cendawan dalam kalangan jenama mewah di dunia, kini tiba masanya Inversa hadir dengan alternatif lain dalam mengurangkan penggunaan kulit haiwan menerusi penghasilan produk yang diperbuat daripada kulit ikan.

Melalui perkongsian di The Guardian, Inversa merupakan syarikat pengeluar barangan kulit ikan yang pada penubuhan syarikat ini adalah bagi membendung masalah lionfish atau ikan depu yang mengancam ekosistem di laut.

Untuk pengetahuan anda, di Lautan Hindi dan Pasifik dan Laut Merah, kan depu dikatakan telah memakan sumber makanan di dalam sesuatu habitat. Malah, dianggarkan kira-kira 79% hidupan marin muda telah mati dalam tempoh lima minggu selepas ikan depu memasuki sistem terumbu karang.

Oleh sebab itu, Inversa menggunakan masalah ini sebagai batu loncatan mereka untuk memulakan pengeluaran barang kulit yang diperbuat daripada kulit dan sisik ikan depu.

Antara jenama yang menggunakan kulit ikan depu di dalam koleksi fesyen mereka termasuklah P448 yang merupakan jenama kasut Itali yang khusus dalam inovasi reka bentuk dan kini komited untuk melancarkan koleksi yang lebih hijau.

Bagaimana Inversa melakukannya? Jawapannya, mereka akan memproses kulit ikan depu dengan menyamaknya dengan agen pengering dan mewarnakannya sebelum menjual kulit itu kepada syarikat rakan kongsi untuk dijadikan produk mewah termasuk dompet, tali pinggang dan beg tangan.

Anda mungkin tertanya-tanya sama ada adakah barangan tersebut akan tahan lama. Jawapannya ya kerana ikan mempunyai kulit yang nipis tetapi disebabkan struktur gentian yang melintang, kulit ikan depu adalah lebih kuat daripada jenis kulit lain.

Menurut Inversa lagi, kulit ikan juga adalah lebih lestari daripada kulit haiwan tradisional, yang secara amnya akan menghasilkan pelepasan karbon yang tinggi. Kesannya, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan ekosistem di laut, tetapi juga menggalakkan lagi aktiviti laut di sesebuah kawasan.

Bergerak ke hadapan, syarikat Inversa turut bercadang untuk menubuhkan koperasi perikanan yang serba lengkap di Quintana Roo, Mexico. Pembukaan ini adalah bertujuan untuk menaja jamin risiko nelayan dengan jaminan tangkapan ke tunai 100% untuk lionfish.