Carian
Pusat Sisa Sifar Kamikatsu Di Jepun Dibina Menggunakan 700 Tingkap Terpakai Yang Diderma
June 16, 2022 Lina Rosli

Dibina bermula pada tahun 2016, Pusat Sisa Sifar Kamikatsu atau Kamikatsu Zero Waste Center menampilkan rekaan bangunan yang menggunakan sekitar 700 tingkap yang disuai padan dan didermakan oleh masyarakat.

Bangunan ini terletak di tebing Sungai Katsuura di pergunungan Kamikatsu di selatan Jepun. Ia digunakan sebagai pusat komuniti yang membantu dalam meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.

Secara luarannya, anda akan melihat susunan tingkat disusun secara berselang-seli bagi memudahkan pencahayaan dari luar masuk ke ruangan dalaman. Sementara di bahagian dalam pula, aksesori dan perabot yang digunakan juga adalah dari barangan yang dinaiktaraf dan boleh digunakan semula.

Selari dengan tujuan awal Pusat Sisa Sifar Kamikatsu yang direka untuk menangani pencemaran alam sekitar dan pembuangan sisa yang tinggi, bangunan ini menggunakan sistem sehala yang mana pusat ini dibahagikan kepada kawasan yang memudahkan kitar semula iaitu:

  • Zon pengasingan dan pengumpulan sampah
  • Zon pusat kitar semula
  • Bilik pendidikan
  • Kedai yang diketuai sukarelawan yang menyediakan barangan percuma yang boleh digunakan semula seperti pakaian, pinggan, buku dan elektronik disumbangkan dan diambil oleh penduduk

Untuk pengetahuan anda, Pusat Sisa Sifar Kamikatsu dibuka pada tahun 2020. Pembinaannya berjaya dilakukan menggunakan bahan tempatan dan kitar semula.

Usah risau, walaupun rata-rata bahan binaan bangunan ini menggunakan bahan kitar semula, tetapi sesetengah barangan seperti bahan bumbung, logam, bolt dan skru untuk sambungan serta peralatan seperti penghawa dingin dan lekapan paip mestilah baharu untuk memastikan pematuhan dengan kod bangunan dan piawaian keselamatan.

Menurut pemilik Pusat Sisa Sifar Kamikatsu, kos bagi menghasilkan bangunan ini adalah dua kali ganda lebih murah sekiranya menggunakan bahan kitar semula. Di tambah lagi daerah Kamikatsu dahulunya merupakan kawasan perindustrian kayu, maka bajet untuk penggunaan kayu tidaklah begitu besar jika dibandingkan di tempat lain yang memerlukan kos tambahan lain untuk mengangkut dan memindahkan kayu cedar.

Sumber: CNN Style

Komen