Amirhadi Diterbitkan 16 June 2022

Novelet Muhammad Amir Hadi Mahrizal

Kisah buruk itu ternyata benar. Teks kolaj di dalam cerita eksperimental ini akan menggabungkan beberapa bab seperti kerinduan lelaki terhadap kekasihnya, nostalgia yang tergilis dek  pejalan kaki, penyair yang mencari erti hajat dan niat dan seorang pemburu ingin mencari kisah hilang di tengah hutan.

Apakah kisah-kisah ini hanya sekadar fiksyen? Barangkali ya. Barangkali tidak. Tetapi anda pasti akan mendapat jawapan setelah menamatkan pengembaraan merentas kolaj-kolaj fiksyen daripada saya. Segalanya terhidang. Jemput menjamu selera!

Sebelum itu, saya akan memberikan kata-kata aluan dahulu, santaplah sepuas-puasnya tetapi ingat, ini adalah makan beradab. Bukannya makan dengan lahap. Awak mesti membaca dan menghadam setiap inci kata yang ada di dalam buku ini. Insya-Allah, awak akan berjaya menghabiskannya dengan faham.

Pengalaman

Suatu pagi, seorang lelaki bertemu dengan pengalaman. Pengalaman memberi salam – lelaki itu hanya diam. Pengalaman memberi salam sekali lagi. Kali ini sedikit kuat. Malangnya ia tidak dilayan. Setelah itu, pengalaman memasuki mata si lelaki. Dia meraung kesakitan. Dia lihat perempuan. Bagaimana dapat dia melupakan sedangkan pengalaman telah memasuki matanya. ia tidak tahu yang memberi salam tadi adalah pengalaman.

            Perempuan hanya bercakap perkara yang sama. Perempuan mengulang kata menjijikkan. Ya, itulah yang berlaku pada tanggal 3 Februari 2021. Pengalaman menyeksanya lagi. Lagi dan lagi sampai satu tahap lelaki itu pengsan. Keesokan harinya, dia ditemui sedang meraung bagai orang kurang sihat. Dia menjerit-jerit memanggil nama perempuan itu.

            Malangnya si perempuan tetap juga mengulang kata yang sama, kali ini dalam bahasa Inggeris, “ee…discgusting!” Lelaki tersebut mengamuk lalu menggelorakan kelopak matanya. Pengalaman keluar. Kerjanya telah selesai.

            Pengalaman jahat!

            Pengalaman jahat!

            Pengalaman jahat!

            Dia menyumpah seranah pengalaman sebagai seekor binatang sesat yang memasuki matanya sebagai parasit.

            Pengalaman hanya tersenyum lalu beredar. Perempuan tadi pun hilang serta merta. Tetapi, dia amat merindukan perempuan itu, soalnya adakah dia juga meredai apa yang telah dilakukan sang pengalaman?

Jawapan

Langit merekah di Kota Kuantan

Hati saya juga begitu

Kenapa?

Kenapa?

Cari jawapannya di bawah tapak kasut sang pejalan kaki.

Nombor

1 – Saya dan Perempuan itu kawan baik. Kami rapat.

2 – Saya ada perasaan kepadanya tetapi malu untuk mencuba. Setelah penat dan tenat menunggunya kunjung tiba, barulah saya mengambil keputusan untuk meluncurkan kata-kata. Tapi saya pula dianggap berdosa.

3 – Suatu hari, kata-kata saya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

4 – Saya bagaikan tidak mahu melepaskannya daripada dialog pihak berkuasa – campur tangan orang sekitar. Mereka adalah manusia yang membunuh harapan.

5 – Kawan perempuan saya mempercayai mereka. Dia tidak faham saya.

6 – Setelah saya mengambil keputusan untuk meluncurkan kata-kata itu, matanya merenung saya tajam, saya tidak pandang tetapi seram.

7 – TITIK.

Saya terperangkap dalam

Kolaj-kolaj cerita

Yang saya cipta

Kolaj 1 :

Perempuan yang memijak pengalaman di pedestrian.

Saya melihat perempuan berjalan di pedestrian. Dia memandang saya dan pengalaman yang saya cicirkan. Perempuan itu mengukir senyum sinis lalu memijak pengalaman dengan kasut tumit tinggi mahalnya. Saya tidak mengenalinya. Dan saya hanya tahu setelah menjadi penyiasatnya sahaja.

            Saya menatap perbuatannya lalu  3 perkara buruk menjelma dalam kepala saya. Kepala saya adalah sebuah kota agam metropolitan.

            1 – trafik sesak dalam jemala. Pemikiran saya tersekat di tengah jalan – tersekat.

            2 – Kota dalam kepala saya diancam seekor makhluk mitos – Sang Perempuan yang pernah menghunjam satu patah kata kepada saya namun ia menusuk dada. Menjijikkan.

            3 – Dan saya tahu, perempuan yang memijak pengalaman adalah penjenayah yang sama.

            Dan, saya tahu kebenaran adalah suatu bentuk kezaliman terhadap diri sendiri.

Kolaj 2 : Hukuman

“Salam, aku berdendam.” Ini adalah kata-kata terakhir kata-kataku sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Soalnya, apakah dosa kata-kata saya?

Kolaj 3 : Monolog terakhir seorang pengemis nuraga

“Aku adalah orang miskin yang mengemis nuraga di pinggir kota – suaraku adalah seperti gonggongan anjing liar.”

  • Tidak dilayan.

Kolaj 4 : Suara dari penjara yang membelenggu bibir penyair seperti saya

Sepi. Kekosongan adalah :

Bilah kipas yang tidak lagi boleh memancung ketiadaan suara.

&

Tiada suara sebenarnya yang membelenggu bibir saya. Mereka hanya menampar dengan tangan dan menggari dengan jari.

Kolaj 5 : Dongeng kota

Seorang akauntan menyemak baki akaun orang atasan.

Seorang akauntan mati dibunuh.

Seorang akauntan dilaporkan meninggal di Jalan X.

Saya saksi matinya seorang akauntan.

Dan, kematian akauntan adalah dongeng.

Dan, kematian akauntan dinafikan polis.

Dan, saya hendak tahu satu perkara :

  1. Adakah saya salah info / dia kambing hitam?
  2. ……..

Tamat.