Ini ada sedikit cerita mengenai Kedai Buku dan Hal-Hal Yang Perlu Diselesaikan.
- Aku haram tak sedih pun PKP lepas banyak kedai buku besar yang tutup. MPH, Borders, Times dan lain-lain. Waktu tu orang pun teriak la sedih kononnya kedai buku tutup walhal masa buka, ada yang jenguk pun idak.
- Untuk golongan seperti pembaca atau pembeli (pastu tak baca) memang sedihlah tak ada kedai buku besar begitu. Tapi untuk penerbit buku macam aku, tutuplah nak tutup. Aku okay saja.
- Memang pelik kenapa penerbit buku okay saja kedai buku tutup, patutnya nangislah. Tapi apa yang orang tak tau, kedai buku besar macam tu la yang himpit para penerbit sampai ke hujung cerun.
- Mereka kadangkala tekan penerbit dengan minta diskaun 60%, order buku banyak-banyak tapi bila hujung tahun return semula selonggok tak habis. Ada kedai yang bila return buku, boleh nampak buku masih dalam kotak yang tak tersentuh. Maksudnya memang dia tak cuba jual pun. Order banyak-banyak memang buat hiasan dalam gudang agaknya.
- Komisyen yang diminta pula ialah 45-60%. Bila ambil buku, bukannya terus dibayar tunai tapi cuma bayar bila buku itu terjual saja. Itu pun berjambang aku tunggu bayaran. Sebab tu lebat.

Buku jual harga RM20, cuba teka berapa penerbit dapat balik, tak termasuk kena bayar royalti penulis, kos dan lain-lain? Kiralah, matematik aku lemah.
- Penerbit ni memang naklah juga dibayar tunai. Selain daripada boleh bantu penerbit untuk terus berdiri, bila kedai bayar buku yang dipesan, wujudlah juga tekanan dan rasa tanggungjawab pada bahu mereka untuk jual buku-buku tersebut. Bila tak ada investment, tak ada kesungguhan, amboi dia tu.
- Kenapa penerbit hantar juga dulu? Sebab nak reach out pembaca di luar lingkungan capaian penerbit sendiri. Nanti orang merungut eh tak pernah nampak pun buku itu ini, tak tahu pun terbit itu ini, tak kenal pun penerbit atau penulis itu ini, sedangkan dia cuma mengunjungi rangkaian kedai buku dalam mall saja.
- Namun ada kedai buku yang baik dan bagus yang bayar dulu atau cepat seperti Kinokuniya dan Kedai Fixi. Aku suka dan selesa dengan kedai buku seperti ini. Mudah nak berurusan dan kawal segala benda berkaitan.
- Sebab itu untuk buku-buku baru Dubook sekarang, aku fak kedai buku yang menyusahkan aku. Aku nak tumpu pada kedai buku mandiri atau kecil saja. Kalau ada yang cuma mampu jual 20-30 buku Dubook sebulan pun tak apa. Janji terjual dan payment cepat. Biar laju, sama rata dan sama rasa antara penerbit dan penjual buku.
- Jual buku pula tak semestinya dalam premis yang namanya kedai buku. Boleh saja jual buku dalam kafe makwe melepak minum kopi dan bergambar. Atau di barber shop sementera melangut tunggu pakwe nak buat longkang kat rambut atau bercukur. Boleh juga jadi di kedai mamak orang beratur bungkus nasi ganja, kedai baju bundle, pasar malam, carboot sale dan sebagainya. Ini semua tempat yang aku rasa penerbit buku boleh sama sama explore.
- Dulu aku tak jual pun buku di kedai buku begitu. Acapkali aku bagitahu penulis, persetankan carta jualan kedai buku ternama. Carta tu pun bukannya betul sangat. Kita buat sendiri – aku buat event sendiri, carta sendiri, jalan sendiri. Kita sendiri tentukan jatuh naik buku yang kita bikin daripada titik peluh, air mata dan otak kita ini.
- Setiap bandar, pekan, kampung atau tempat harus ada kedai buku. Tapi bukan kedai buku besar yang menekan penerbit, kerana ia akan menekan banyak lagi pihak dalam kitarannya, penulis, pembaca dan pelajar. Kita perlukan sebuah kedai buku yang ada jiwa, yang kita jejakkan kaki untuk tenggelam dalam cerita-ceritanya.
Bukan gudang jual kertas.
- Tentu sekali sekarang kita dah boleh buat kedai buku dalam talian, Shopee, IG shop dan sebagainya. Tapi kita kena ada juga kedai buku fizikal, yang orang boleh tengok depan mata, sentuh dan selak.
Ada banyak sebab kenapa kedai buku fizikal kena terus wujud. Neil Gaiman kata sebuah bandar bukanlah sebuah bandar jika tak ada kedai buku. Mungkin ia boleh panggil dirinya sendiri sebagai sebuah bandar. Tapi tanpa kedai buku, tak ada satu jiwa pun yang cukup bodoh untuk percayakannya.
Senang cerita kalau tak ada kedai buku, tempat tu tak bertamadun.
- Para penerbit buku dan pemilik kedai buku kecil kena bina ekosistem sendiri. Cipta ruang dan peluang sendiri.
Kita boleh buat, kita pernah buat, dan kita akan buat sekali lagi.
Jalan terus,
Abdul DuBook