Selangor Fashion Accelerator 2022 telahpun boleh mula didaftar oleh mana-mana perniagaan fesyen yang berminat. Tarikh pendaftaran untuk menyertai program ini telah dibuka sejak 15 Jun 2022 dan berakhir pada 11.59 malam pada 15 Julai 2022.

Berbeza dengan program pada tahun sebelum ini yang diadakan secara maya sepenuhnya, Selangor Fashion Accelerator 2022 dilihat bakal melaksanakan program secara fizikal selain dijangka tamat sekitar bulan Oktober kelak.

Menurut Sidec, perlaksanaan program memfokuskan fesyen ini adalah bertujuan untuk menampilkan sesuatu yang baharu di dalam industri termasuk menggerakkan syarikat fesyen ke dalam arena pendigitalan. Tidak sekadar itu, Selangor Fashion Accelerator juga dijangka menjadi titik mula dalam membawa masuk pelaburan dan teknologi global ke dalam Malaysia sekaligus mengembangkan lagi potensi sedia ada di dalam fesyen.

Sebanyak 16 usahawan fesyen yang berpotensi akan terpilih untuk menyertai program ini dan akan menjalani program intensif selama 2 bulan. Sepanjang program berjalan, mereka akan menerima bimbingan cemerlang daripada mentor yang berpengalaman di dalam komuniti selain turut menampilkan pelbagai jenis bengkel komprehensif yang dijangka akan membawa mereka ke tahap sedia pelaburan dan pengembangan.

Berdasarkan perkongsian di laman rasmi Sidec, program Selangor Fashion Accelerator 2022 ini hadir dengan tema khas iaitu fesyen sopan yang memfokuskan kepada penawaran pakaian sedia dipakai atau Ready-To-Wear (RTW).

Pemilihan sektor ini sebagai tema, ia dijangka akan membawa fesyen sopan ke tahap yang lebih tinggi yang mana tidak hanya terhad pada sesetengah lokasi sahaja selain mengajak lebih ramai pereka fesyen yang muda dan baharu dalam mempamerkan bakat yang mempunyai potensi yang tinggi.

Oleh itu, mana-mana syarikat fesyen tempatan yang berminat dan mempunyai kriterian yang lengkap seperti yang telah ditetapkan, anda adalah sangat dialu-alukan untuk mengikuti program ini.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.sidec.com.my

Daftar: Selangor Fashion Accelerator Programme 2022