Sudah menjadi kebiasaan untuk kita menyimpan lebihan makanan yang tidak habis dimakan. Ada yang menyimpan semula di dalam periuk dan ada menyimpan di dalam peti ais. Namun begitu, berapa lamakah lebihan makanan boleh disimpan sebelum ia tidak lagi selamat untuk dimakan?

Terdapat dua jenis bakteria yang boleh terkandung di dalam makanan: bakteria patogen dan bakteria perosak. Bakteria patogen ialah punca kepada keracunan makanan manakala bakteria perosak pula menyebabkan makanan bertukar bau, rasa dan tekstur.

Bakteria patogen berkembang dengan pantas pada suhu 4 hingga 60 darjah Celcius. Walaupun begitu, kehadiran bakteria ini dalam makanan tidak akan menukar rasa, bau atau rupa bentuk makanan tersebut. Oleh yang sedemikian, adalah sukar untuk menentukan sesuatu makanan tersebut sudah tercemar atau tidak. Antara contoh-contoh bakteria ini ialah Staphylococcus aureus, Salmonella, Clostridium perfringens, Campylobacter, Listeria monocytogenes, Vibrio parahaemolyticus, Bacillus cereus, dan Entero-pathogenic Escherichia coli yang selalunya wujud dalam makanan yang masih mentah. Bakteria ini boleh menyebabkan cirit birit, muntah-muntah, sakit kepala, sakit perut, dan di dalam sesetengah kes, kematian.

Bakteria perosak pula boleh berkembang biak walaupun di dalam suhu yang sejuk. Ia menyebabkan rasa, bau dan tekstur makanan bertukar. Antara jenis-jenis bakteria perosak ialah Brochothrix thermosphacta, Carnobacterium spp., Lactobacillus spp., Lactococcus spp., Leuconostoc spp., Pediococcus spp., Stretococcus spp., Kurthia zopfii, and Weisella spp.. Berbanding dengan makanan yang mengandungi bakteria patogen, makanan yang mengandungi bakteria perosak masih boleh dimakan dan tidak akan menyebabkan anda menjadi sakit.

Walaupun begitu, adalah lebih selamat untuk anda membuang makanan yang telah mula bertukar rasa, bau dan tekstur. Ini adalah kerana anda tidak dapat menentukan kehadiran jenis bakteria di dalam makanan tersebut berdasarkan 3 kriteria ini semata-mata. Terdapat juga bakteria patogen seperti Listeria monocytogenes yang boleh membiak di dalam suhu yang sejuk yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Selain itu, makanan juga boleh dirosakkan dengan kehadiran mikrob lain seperti kulat dan yis. Tanda-tanda kerosakan ini lebih mudah untuk dikesan pada makanan. Makanan yang telah berlapuk atau berkulat tidak boleh diselamatkan dengan mengambil bahagian yang elok dan membuang bahagian yang rosak sahaja kerana akar kulat menjalar di bahagian bawah permukaan makanan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Jadi jangan anda sangka makanan yang anda simpan dalam peti sejuk selamat disimpan berminggu-minggu lamanya. Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mencadangkan bahawa makanan yang telah di masak yang disimpan di dalam peti ais perlu dihabiskan dalam tempoh 3 hingga 4 hari selepas ia dimasak. Selepas daripada tarikh ini, ia dianggap untuk tidak lagi selamat untuk dimakan.

Makanan yang tidak disimpan di dalam peti ais pula perlu dihabiskan dalam tempoh 2 jam. Ini adalah kerana bakteria akan mula membiak selepas tempoh 2 jam tersebut. Sekiranya anda tidak mahu menyimpan lebihan makanan tersebut di dalam peti ais, pastikan ia kekal dipanaskan pada suhu 60 darjah Celcius ke atas untuk membolehkan ia masih selamat untuk di makan. Namun ia perlu segera dimakan kerana makanan yang kekal dipanaskan akan perlahan-lahan menjadi kering akibat pemanasan yang berterusan.

USDA juga mengesyorkan agar 4 langkah keselamatan iaitu Clean, Separate, Cook, and Chill untuk mengelakkan makanan menjadi rosak dan mengurangkan risiko untuk anda mendapat penyakit bawaan makanan.