Dalam masa sehari, setiap individu boleh dikatakan berjalan sekitar 700 hingga 2000 langkah secara purata. Jumlah langkah ini sememangnya dipengaruhi oleh tabiat dan juga aktiviti harian yang dilakukan yang mana semakin kerap anda bergerak ke pelbagai lokasi, semakin tinggi jumlah langkah harian anda.

Selain daripada jumlah langkah, kelajuan di antara setiap langkah juga adalah penting. Hal ini kerana, menurut Institut Kesihatan Kebangsaan, antara kelebihan berjalan pantas termasuklah:

  •  Meningkatkan kadar denyutan jantung bagi melancarkan aliran darah
  •  Membantu menurunkan berat badan
  • Meningkatkan kecergasan dan daya ketahanan tubuh
  •  Meningkatkan fleksibiliti otot dan sendi
  •  Menguatkan otot kaki dan perut

Sekiranya anda seorang individu yang kerap berjalan perlahan, antara faedah yang boleh dinikmati adalah pembakaran kalori untuk tempoh yang panjang serta mengurangkan tekanan sendi.

Tetapi, ada kajian yang dilakukan di Universiti Monash di Victoria di Australia menunjukkan bahawa berjalan lebih perlahan seiring dengan usia dikatakan boleh menyebabkan kemerosotan daya ingatan. Kajian ini dilakukan ke atas sekumpulan kecil orang tua dan hasil mendapati bahawa gaya berjalan yang lebih perlahan dari tahun ke tahun mungkin merupakan tanda awal penurunan kognitif.

Faktor ini berlaku mungkin disebabkan oleh pengecutan di hippocampus kanan, yang merupakan bahagian otak yang dikaitkan dengan ingatan. Bagi yang tidak mengetahui, hippocampus ialah organ yang bertanggungjawab untuk belajar, menyatukan ingatan dan navigasi spatial. Melaluinya, ia sedikit sebanyak membantu individu untuk mengingati arah, lokasi dan orientasi.

Di dalam sebuah jurnal lain pula, fungsi kognitif dan fungsi fizikal mempengaruhi satu sama lain dengan cara yang kompleks. Terdapat beberapa bukti bahawa perkaitan antara kedua perkara ini termasuklah gangguan gaya berjalan meningkat seiring dengan usia.

Walau bagaimanapun, sehingga kini hanya 10% hingga 20% individu berumur 65 tahun atau lebih tua akan mengalami gangguan kognitif ringan atau mengalami dementia pada tahun yang berikutnya. Malah, dalam banyak kes, gejala dementia berupaya untuk bertambah lebih baik sekiranya mendapat bantuan yang bersesuaian.

Antara aktiviti yang baik untuk peningkatan fungsi kognitif adalah senaman aerobik. Menurut pakar, senaman ini berupaya meningkatkan saiz hippocampus sekaligus meningkatkan beberapa aspek ingatan. Oleh itu, individu yang kerap melakukan latihan senaman, ia dijangka dapat memperbaiki kemerosotan fungsi kognitif sekitar 2%.

Jenis senaman aerobik boleh termasuk berjalan pantas, berenang, berlari, berbasikal, menari dan bersenam di mesin kardio di gim.