Bagi memperingati usaha dan pencapaian Dr. Lim Boo Liat, Google hari ini hadir dengan lukisan istimewa yang menampilkan ilustrasi beliau bersama-sama dengan beberapa haiwan dan serangga yang pernah diterokainya.
Jika anda lihat, setiap mamalia dan parasit yang dilukis di dalam Doodle ini sedang memegang buku masing-masing yang mana ia menggambarkan dengan jelas akan dedikasi Dr. Lim Boo Liat dalam menerbitkan 300 penerbitan saintifik tentang mamalia dan parasitologi.

Bagi yang tidak mengetahui akan pencapaian figura ini, Dr. Lim Boo Liat telah dianugerahkan Keahlian Kehormat bagi Persatuan Ahli Mamalia Amerika atau American Society of Mammalogists pada 21 Jun 2003 untuk sumbangan cemerlang beliau dalam bidang sains mamalia.
Dr. Lim Boo Liat juga merupakan orang Asia Tenggara pertama yang menjadi seorang Ahli Kehormat ASM bagi sebuah anugerah yang diasaskan pada tahun 1919. Tidak sekadar itu, pada tahun 1955 hingga 1969, beliau menerbitkan lebih daripada 80 kertas saintifik mengenai haiwan vertebrata dan telah dilantik untuk mengetuai Bahagian Ekologi Perubatan yang baharu diasaskan di IMR.

Turut dikenali sebagai Bapa Zoologi, Dr. Lim Boo Liat bersama dengan rakan penyelidik telah menemui spesies baharu yang dikenali sebagai ular dedaun Genting dan dinamakan sebagai Macrocalamus gentingensis. Penemuan ini berlaku di Tanah Tinggi Genting Highlands yang dikatakan kini tidak boleh ditemui di tempat lain.
Selain itu juga, beberapa penemuan spesies haiwan lain turut dinamakan sempena sumbangan Dr. Lim Boo Liat termasuklah cacing parasit yang dikenali sebagai Plasmodium booliati (Sandosham, Yap & Omar, 1965), kumbang (Thalliseliodes limbooliati (Chújô, 1963)) dan cicak (Dibamus booliati (Das & Yaakob, 2003)).