Growthwell Foods dan Country Farms Group mengumumkan usaha sama untuk pengedaran eksklusif produk berasaskan tumbuhan HAPPIEE! di Semenanjung Malaysia. Melalui usaha sama ini juga, hak eksklusif HAPPIEE! yang sedia dipegang Growthwell Foods akan diberikan kepada Country Farm Organics Sdn. Bhd. milik Country Farms Group.

Dengan penawaran ini, nampaknya anda akan mempunyai lebih banyak pilihan sekiranya ingin mendapatkan produk berasaskan tumbuhan di pasaran. Menurut Country Farm Organics Sdn. Bhd., kesemua produk-produk makanan berasaskan tumbuhan HAPPIEE! dijangka boleh didapati di cawangan-cawangan pasaraya AEON di Semenanjung Malaysia menjelang akhir bulan Jun 2022.

Bergerak ke hadapan, Country Farm Organics Sdn. Bhd. turut akan bekerjasama dengan beberapa restoran dan kedai makan ikonik di rantau ini untuk melancarkan hidangan-hidangan istimewa yang dihasilkan daripada produk-produk makanan berasaskan tumbuhan HAPPIEE!.

Hal ini kerana, jika kita melihat pada tabiat pemakanan rakyat Malaysia, ramai dalam kalangan mereka sudah mula memilih diet veganisme, vegetarianisme atau fleksitarian bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan. Hasilnya, permintaan untuk alternatif makanan dan minuman berasaskan tumbuhan terus dijangka akan terus meningkat

Tidak sekadar itu, HAPPIEE! juga menampilkan rangkaian makanan laut yang dihasilkan daripada Konjac, sebuah ramuan yang secara semula jadinya bebas kolesterol, tinggi serat dan rendah kalori. Di samping itu, ia juga menghasilkan rangkaian ayam berasaskan soya yang menyerupai rasa dan tekstur seperti daging ayam sebenar.

Bagi yang berminat, berikut adalah produk-produk makanan berasaskan tumbuhan HAPPIEE! yang boleh anda dapatkan kelak:

  • HAPPIEE! Fishiee Sticks
  • HAPPIEE! Fishiee Patties
  • HAPPIEE! Chickiee Popcorn
  • HAPPIEE! Chickiee Nuggets

Selain boleh didapati di pasaraya, makanan berasaskan tumbuhan HAPPIEE! juga akan boleh didapati untuk pengedaran perkhidmatan makanan di Malaysia bermula suku ketiga tahun 2022.